Cuepacs tidak setuju cadangan pinda Akta Pencen
SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak bersetuju dengan cadangan untuk meminda Akta Pencen 1980 hanya semata-mata untuk membolehkan pelantikan kakitangan ke jawatan tetap dengan pilihan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat dilaksanakan.
Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, pihaknya sedikit khuatir dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa pasukan petugas khas dianggotai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) akan melihat keperluan untuk meminda Akta Pencen 1980 berkenaan.
“Ketika ini, mana-mana penjawat awam yang ditawarkan ke jawatan tetap dalam perkhidmatan boleh memilih sama ada mahu mengambil skim berpencen atau skim caruman KWSP.
“Perkara ini sememangnya sudah sedia ada dalam Akta Pencen 1980 yang memberi pilihan kepada penjawat awam,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Dr Noor Hisham dilapor berkata bahawa pasukan petugas khas yang diketuai MMA dan KKM diharap dapat meneliti pindaan terhadap Akta Pencen 1980.
Ia bagi membolehkan pengambilan ke jawatan tetap dilakukan dengan pilihan caruman kepada KWSP dalam tempoh dua tahun untuk semua lanjutan kontrak yang diberi kepada 23,000 doktor ketika ini.
Adnan menambah, Cuepacs bimbang pindaan akta yang mahu dilakukan itu akan memberi kesan kepada penjawat awam secara keseluruhan yang mana mereka tidak lagi boleh memilih skim tetap berpencen atau caruman KWSP.
“Apatah lagi buat masa ini tiada sebarang jaminan daripada kerajaan apakah pindaan akta ini tidak akan memberi kesan kepada penjawat awam yang lain atau ia hanya melibatkan penjawat awam di sektor kesihatan sahaja.
“Sebarang pindaan ke atas Akta Pencen 1980 sepatutnya tidak wajar mengurangkan apa-apa faedah yang diterima oleh penjawat awam atau pesara kerajaan ketika ini.
“Cuepacs menentang sepenuhnya apa-apa pindaan ke atas Akta Pencen 1980 yang bersifat mengurangkan lagi manfaat atau faedah yang diterima oleh penjawat awam,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jalan penyelesaian lain yang boleh dipertimbangkan kerajaan adalah melihat dan meminda semula Akta Perubatan 1971 yang sedikit sebanyak menyekat ruang dan kerjaya doktor itu sendiri.
“Cuepacs meminta kerajaan dan pihak yang terlibat dalam menentukan masa depan petugas-petugas dalam sektor kesihatan menimbang semula keputusan untuk meminda akta ini dengan sebaik-baiknya.
“Pertimbangan ini harus dibuat dengan sewajarnya supaya tidak tersilap membuat keputusan terutama dalam isu pelantikan tetap tanpa pencen,” katanya.
Adnan berkata, pihaknya tidak mahu apabila perkara ini dipersetujui kelak akan mewujudkan perkara-perkara berbangkit seperti membuat perbandingan dengan penjawat awam yang berstatus berpencen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!