Wanita terlelap, kereta terbabas masuk sungai
JOHOR BAHRU - Seorang wanita dipercayai terlelap ketika memandu menyebabkan kereta yang dipandunya terbabas ke dalam sungai di Kilometer 61, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di Kota Tinggi pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa Nurul Ain Shamyra Shariff, 22, menaiki kereta Proton Persona seorang diri dari arah Sungai Rengit menghala ke Kota Tinggi.
"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan kerana dipercayai mangsa terlelap ketika memandu sebelum kenderaannya terbabas ke dalam sungai dan terbalik.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit di bahagian leher manakala keretanya rosak serta remuk pada bahagian bumbung," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Rafi Mohd Nor berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima laporan kejadian itu pada 7.37 pagi sebelum 11 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Mangsa telah dikeluarkan dari kereta oleh orang awam. Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan kereta mangsa dari sungai menggunakan pengusung dan tali.
“Ketika kejadian mangsa difahamkan dalam perjalanan menghala ke tempat kerjanya di Pasar Borong Song Seng,” katanya sambil menambah, operasi menyelamat ditamatkan pada 8.18 pagi.
Mohd Rafi berkata, mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Air Tawar 2 sebelum dibawa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!