Jabatan Penerangan buat hebahan hari mengundi
SEMENYIH - Menjelang hari mengundi bagi PRK DUN Semenyih Sabtu ini, Jabatan Penerangan mengambil inisiatif membuat hebahan mengajak pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Pegawai Penerangan Daerah Hulu Langat Hafizan Hamzah berkata, hebahan itu dibuat dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil dengan menggunakan enam kenderaan yang bergerak di semua 23 pusat daerah mengundi (PDM).
“Kenderaan Jabatan Penerangan akan membuat hebahan itu pada 10 pagi hingga 6.30 petang setiap hari bermula hari ini sehingga Jumaat, serta sehingga 4 petang pada Sabtu.
“Langkah tersebut untuk menguar-uarkan dan mengajar pengundi untuk turun mengundi serta membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencapai sasaran 70 peratus keluar mengundi,” katanya kepada Bernama.
Jelasnya, hebahan itu juga bagi mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan awal butiran daftar pemilih di laman web SPR bagi memudahkan proses mengundi nanti.
SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi 70 peratus bagi PRK DUN Semenyih. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!