Speaker jamin sidang khas Parlimen seperti biasa pada Isnin: Anwar

Anwar ketika sidang media sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula selepas ditangguhkan buat kali kedua di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Anwar ketika sidang media sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula selepas ditangguhkan buat kali kedua di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memberi jaminan bahawa sidang khas Parlimen akan diadakan seperti biasa pada Isnin ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, itu jaminan yang diberikan Azhar kepada beliau dan beberapa ahli Parlimen pembangkang yang lain.

Beliau berkata, pengesahan itu dibuat ekoran pembangkang curiga dengan kenyataan Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon ketika menangguhkan sidang khas Parlimen kerana menyebut Parlimen ditempohkan Isnin.

"Bila speaker bagi jaminan, kita telah memberitahu semua ahli-ahli Parlimen supaya hadir pada jam 10 pagi Isnin nanti.

"Apa-apa jadi sama ada dia (kerajaan) nak batal ke, kita tetap akan hadir," kata Presiden PKR itu menerusi sidang akhbar pada sidang khas Dewan Rakyat pada Khamis.

Sebelum itu, Mohd Rashid memaklumkan sidang Dewan Rakyat ditangguhkan sehingga Isnin depan berikutan terdapat dua lagi kes positif Covid-19 yang dikesan hasil ujian saringan di Parlimen pada Khamis.

Pengumuman itu menjadikan suasana Dewan Rakyat bertukar kecoh kerana rata-raya ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju dengan penangguhan tersebut.

Ahli Parlimen Port Dickson itu pada masa sama menyifatkan penangguhan berulang kali sidang pada Khamis adalah mainan kerajaan kerana tidak ada jawapan berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga bagitahu kepada Speaker yang beliau kena baca kenyataan Istana Negara. Tapi beliau tak buat. (Ini dikira) derhaka.

"Kedua, (beliau) ketepikan Perlembagaan dan ketiganya, menghina Parlimen. Jadi Speaker tak layak terus tugas kalau keadaannya begini.

"Beliau juga nak cuba pertahankan kerajaan yang sudah hilang majoriti dan keabsahan yang nyata terutama sekarang dengan pendirian kami serta pendirian yang disebut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi bahawa kami tarik sokongan terhadap Mahyuddin," katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, ujian calitan yang diarahkan untuk dibuat seolah-olah seperti satu drama untuk melambatkan perjalanan Parlimen.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, dua orang yang disebut positif Covid-19 bukanlah ahli Parlimen jadi kes itu tidak ada kena mengena untuk hadir dalam sidang Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum itu menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen, sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Istana Negara dalam kenyataan di laman Facebook rasminya dilaporkan berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai lalu tidak tepat dan telah mengelirukan ahli Dewan Rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!