Pernas tawar pembiayaan francais melalui Program BYOB

No Image Caption
A
A
A

Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) membuka lebih banyak peluang keusahawanan terutama kepada golongan belia dan wanita dengan menyediakan program keusahawanan holistik dan berdaya saing melalui projek ‘Be Your Own Boss (BYOB)’.

Inisiatif ini adalah salah satu dari strategi untuk merealisasikan mandate Pernas untuk merancakkan sektor francais di Malaysia.

Selain itu, Pernas menjalankan aktiviti pembangunan sektor francais melalui program promosi, latihan, pembiayaan francais dan pra-francais, pembangunan produk serta penyelidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor berkata, Pernas kini sedang giat memacu keusahawanan francais melalui beberapa program dan produk baharu dengan matlamat untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan, meningkatkan peluang pekerjaan dan membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa sekali gus menyumbang kepada peningkatan KDNK negara.

Menurut beliau, projek BYOB yang mula diperkenalkan pada awal tahun ini menawarkan program-program keusahawanan yang menyeluruh dengan sasaran utama diberikan kepada golongan wanita dan belia menerusi program “Successful Women Entrepreneurship Engagement Talents (SWEET)” dan program “Young Entrepreneurship Engagement Talents (YOUNITY).

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor
Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd Hilaluddin Abd Shukor

Mengulas lanjut mengenai program SWEET dan YOUNITY, beliau menyatakan saiz pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga 90 peratus bergantung kepada pakej perniagaan yang dimiliki.

Peserta program berpeluang untuk memilih dari 38 syarikat jenama francais dan 50 syarikat pra-francais yang telah berdaftar di bawah projek BYOB dengan tawaran saiz pakej perniagaan bermula dari serendah RM7,500 hinggalah RM800,000.

“Peluang ini tidak had kepada jenama-jenama francais sedia ada, malah para peserta juga boleh memilih untuk memulakan perniagaan pakej francais mampu milik melalui jenama pra-francais di bawah Program Business In Transformation (BIT),” katanya kepada Sinar Harian.

Menyentuh mengenai proses yang dilaksanakan dalam projek ini, peserta berpeluang mengikuti latihan berstruktur selama 20 hari, padanan perniagaan bersama francaisor dan pra-francaisor, menerima bimbingan, bantuan pembiayaan selama enam bulan apabila bermulanya perniagaan bagi memastikan peserta yang menyertai projek ini berjaya dalam bidang keusahawanan dan francais.

No Image Caption

Tambahnya, sejak program ini diperkenalkan pada Mac 2021, seramai 373 wanita dan belia telah mendaftar sebagai peserta BYOB dan seramai 150 peserta telah menamatkan latihan.

Daripada jumlah itu seramai 123 peserta telah pun mendapat padanan perniagaan daripada francaisor dan pra-francaisor yang berdaftar dalam projek BYOB dari pelbagai sektor seperti makanan & minuman, peruncitan, perkhidmatan dan pendidikan.

“Melalui projek BYOB, Pernas berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan dari golongan belia, wanita dan siswazah dan kami menyasarkan 1,000 usahawan francaisi dan pra-francaisi setahun,” tambah beliau.

Program berkenaan meliputi latihan selama 20 hari yang dijalankan secara dalam talian. Antara modul latihan yang ditawarkan adalah:

LATIHAN KEUSAHAWANAN DAN FRANCAIS.

1. Transformasi Minda (3 hari)

2. Asas Keusahawanan (2 hari)

3. Keusahawanan-Kewangan (2 hari)

4. Keusahawanan Rancangan Perniagaan (2 hari)

5. Teknologi (1 hari)

6. Keusahawanan Francais (6 hari)

7. Pendigitalan (4 hari)

No Image Caption

Sementara itu katanya, ini juga merupakan sebahagian daripada usaha memenuhi aspirasi kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan melalui penjanaan sumber pendapatan yang lebih baik kepada kumpulan B40 dan M40 melalui bidang keusahawanan.

“Pernas menyasarkan 3,600 peluang pekerjaan pada tahun ini dan sebanyak 18,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

“Saya berharap projek BYOB ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, menjana pendapatan dan meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Usaha ini juga seterusnya diharap mengurangkan kadar pengangguran dan mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan,” jelasnya.

No Image Caption

Tambahnya, Pernas juga menyasarkan untuk memantapkan keupayaan dan prestasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana selain membudayakan keusahawanan di segenap lapisan masyarakat selari dengan peranan Pernas dalam melahirkan lebih ramai usahawan khususnya di dalam bidang francais melalui projek ini.

Selaras dengan itu, beliau menyeru kepada mereka yang berminat menyertai projek BYOB untuk ‘#caripernas’ dengan mendaftar sama ada program SWEET atau YOUNITY di www.pernas.my atau dengan menggunakan google form.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek BYOB, sila hubungi 1800 22 1767 atau layari laman media sosial Pernas (Facebook dan Instagram @ pernasofficial) atau gunakan imbas kod QR BYOB.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!