Ayuh Aaron, Wooi Yik

Aaron (kanan) dan Wooi Yik meraikan kejayaan mereka di Mushashino Sports Plaza pada Khamis.
Aaron (kanan) dan Wooi Yik meraikan kejayaan mereka di Mushashino Sports Plaza pada Khamis.
A
A
A

GANDINGAN negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke peringkat separuh akhir acara beregu lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan penuh bergaya selepas menewaskan pasangan nombor satu dunia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi.

Tampil sebagai gandingan bukan pilihan, Aaron-Wooi Yik ternyata tidak gentar dengan reputasi beregu handalan Indonesia itu apabila melakar kemenangan 21-14, 21-17 dalam masa 33 minit di Mushashino Forest Sport Plaza pada Khamis.

Aaron berkata, mereka tampil dengan taktikal seperti dirancangkan bersama jurulatih, Flandy Limpele selepas mendapati rekod pertemuan sebelum ini yang lebih berpihak kepada Kevin-Marcus.

“Sebelum masuk ke gelanggang, seperti biasa kami bincang dengan jurulatih Flandy (Limpele) kerana kami mahu berikan aksi yang terbaik.

“Perlawanan ini kami kurang merasakan tekanan kerana rekod sebelum ini lebih berpihak kepada Kevin dan Marcus Gideon dalam tujuh kali pertemuan.

“Jadi kami tampil dalam perlawanan yang saya boleh katakan we got nothing to lose, jadi seperti kebiasaan kami hanya fokus memberikan aksi yang terbaik untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.

Bagaimanapun, Aaron mengakui dia dan Wooi Yik masih lagi melakukan beberapa kesilapan sehingga menghadiahkan mata mudah kepada lawan mereka.

“Sekiranya mereka dapat bangkit, ia akan menyusahkan kami. Fokus kami pada ketika itu adalah mengutip mata demi mata tanpa memikirkan mengenai kemenangan

Artikel Berkaitan:

“Saya akui bahawa kemenangan pada set pertama banyak membantu membina keyakinan pada set kedua,” katanya.

Mengenai lawan mereka pada peringkat separuh akhir - beregu China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen, Aaron berkata, dia dan Wooi Yik akan sekali berjuang habis-habisan.

“Kami akan berbincang coach Flandy, akan kembali berbincang strategi 'game plan' kami sambil menyaksikan video perlawanan terdahulu sebagai persediaan menghadapi mereka,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!