Tak tahan bunyi bising, abang hentak kepala adik dengan pinggan kaca

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tidak tahan mendengar suara adik perempuan dan ibunya bersembang, seorang abang bertindak menghentak kepala adiknya itu dengan pinggan kaca, dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Perumahan Telaga Daing, Seberang Takir, Kuala Nerus, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 25 tahun mengalami kecederaan di kepala kemudian dihantar ke Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ), di sini, bagi rawatan lanjut.

Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa sedang bersembang dengan ibu mereka di ruang tamu rumah sebelum suspek tiba-tiba muncul dan menyuruh mereka diam.

"Namun semasa adiknya masuk ke dalam bilik, suspek yang masih tidak berpuas hati bertindak menghentak kepala mangsa menggunakan pinggan kaca yang diambil dari dapur," katanya.

Sumber berkata, suspek memukul di bahagian kiri kepala mangsa sehingga menyebabkan pendarahan serius.

"Mangsa yang dihantar ke HSNZ, di sini, oleh ibu dan adiknya terpaksa menerima enam jahitan di kepala akibat kejadian itu," katanya.

Bimbang perkara sama akan berulang, semalam mangsa membuat laporan di balai polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!