Pengusaha hotel di Negeri Sembilan rugi RM300 juta
SEREMBAN - Pengusaha hotel di Negeri Sembilan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM300 juta sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, data itu diperoleh daripada anggaran bilik penginapan hotel yang berdaftar dengan MAH sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, sebanyak 35 hotel di Negeri Sembilan berdaftar dengan MAH dan dijangka menerima pendaftaran baharu selepas PKP 3.0 ini.
"Kerugian bermula sejak awal Januari lalu dan menjadi lebih teruk apabila PKP 3.0 dilaksanakan sehingga kini.
"Tempoh PKP memberi impak kepada industri pelancongan negara dan pengusaha hotel merupakan antara pihak yang paling terkesan.
"Bukan sahaja tiada pengunjung disebabkan tidak boleh rentas negeri, bahkan pengusaha hotel harus menampung kos penyelengaraan fasiliti mereka yang lebih tinggi, tanpa sebarang pendapatan tetap," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambahnya, bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang hotel yang berdaftar dengan MAH dilaporkan menutup operasi.
Dalam pada itu Haziz memberitahu, pihaknya lega apabila kerajaan negeri turut membantu melalui insentif kepada penggiat industri pelancongan.
Katanya, diskaun bayaran cukai taksiran, fi lesen perniagaan dan rebat kepada industri perhotelan sehingga 50 peratus sangat membantu mengurangkan beban pengusaha hotel di negeri ini.
"Kita berterima kasih dan bersyukur dengan bantuan yang diberi, jumlah bantuan one-off sebanyak RM2,000 kepada persatuan pelancongan dan pengusaha homestay serta RM250 kepada pemandu pelancong sangat dihargai.
"Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat membantu kami membuat persediaan promosi pelancongan Negeri Sembilan sebaik sahaja PKP3.0 ditamatkan selain mengurangkan beban yang ditanggung," katanya.
End
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!