JAS patahkan cubaan bawa masuk 19 kontena barang buangan
ISKANDAR PUTERI - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor berjaya mematahkan cubaan membawa masuk 19 kontena mengandungi barangan buangan terjadual dari luar negara di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah pada Khamis.
Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, kesalahan itu dikesan semasa pihaknya menjalankan pemeriksaan kontena dengan kerjasama pihak berkuasa PTP dari 19 Julai lalu hingga Khamis.
Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati setiap kontena itu menggunakan borang deklarasi palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Berdasarkan borang deklarasi, barang dagangan yang dibawa adalah sekerap logam namun hasil pemeriksaan dijalankan mendapatinya barang dikategorikan sebagai buangan terjadual di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
"Pemeriksaan ke atas kesemua kontena itu membawa buangan yang yang mengandungi bateri plumbum (SW 102), bateri lithium (SW 103), buangan elektrik dan elektronik (SW 110), dan kabel wayar berpenebat (SW 422)," katanya kepada pemberita pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Famey berkata, kesemua kontena itu akan diarahkan untuk dihantar balik ke negara asal selaras dengan prosedur Konvensyen Basel.
Katanya, pihak JAS sudah mengenal pasti kesemua 10 syarikat pengimport yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
"Tiada tindakan kompaun ditawarkan terhadap syarikat pengimport yang terlibat melainkan mengarahkan kontena yang mengandungi barangan buangan terjadual untuk dihantar balik ke negara asal.
"Mana-mana pihak diingatkan bahawa pengimportan sekerap logam dan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Alam Sekitar terlebih dahulu adalah satu kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!