Peneman pesakit perlu lakukan ujian saringan Covid-19: HUSM

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 sejak kebelakangan ini, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) terpaksa memperketatkan polisi dengan penjaga pesakit perlu melakukan ujian saringan Covid-19 bermula 20 Julai lalu.

Pengarah Hospital USM, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata, sebarang penularan kes positif Covid-19 ke zon perawatan pesakit perlu dikawal rapi kerana boleh menjejaskan fokus warga kerja hospital serta mampu merencatkan operasi perkhidmatan perubatan kepada rakyat.

“Berdasarkan penilaian situasi semasa jangkitan Covid-19 khususnya di Kelantan dan daerah Kota Bharu, pihak pengurusan terpaksa membuat keputusan untuk memperketatkan polisi kebenaran kepada penjaga (peneman) pesakit berkuatkuasa 20 Julai.

“Peneman hanya akan dibenarkan bagi kes-kes tidak berdaya fizikal (bed bound) sahaja berdasarkan kriteria-kriteria tertentu yang diputuskan sama ada oleh petugas di Jabatan Kecemasan atau di wad-wad yang berkenaan," katanya menerusi laman sesawang HUSM.

Ahmad Sukari berkata, peneman juga tidak dibenarkan bagi pesakit-pesakit di Wad Bersalin, Unit Rawatan Rapi (ICU), Wad Severe Acute Respiratory Illness (SARI) serta Wad Covid-19.

Katanya, hanya seorang peneman dibenarkan bagi setiap pesakit pada satu-satu masa dan hanya peneman yang melepasi saringan risiko serta memperoleh keputusan negatif terkini (dalam tempoh 72 jam) melalui ujian RTK-Ag atau RT-PCR Covid-19 sahaja yang akan diberi kebenaran masuk termasuk peneman gantian.

"Ketetapan ini perlu bagi mengelak insiden berulang iaitu kes peneman pesakit menularkan jangkitan ke kawasan perawatan dan ia selaras dengan arahan yang diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan.

"Seseorang peneman itu perlu sepanjang masa berada dalam kawasan Hospital USM dan sekiranya didapati keluar dari kawasan Hospital USM, mereka hanya akan diberi kebenaran masuk semula selepas mengulangi saringan ujian RTK-Ag atau RT-PCR dengan keputusan negatif," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, peneman yang ingin berada di fasiliti Hospital USM boleh melakukan ujian RTK-Ag atau RT-PCR dengan pembiayaan sendiri di fasiliti-fasiliti luar yang menyediakan ujian berkenaan selain di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagi kes-kes pesakit kritikal atau meninggal dunia di wad pula, hanya dua orang waris terdekat yang dibenarkan masuk pada satu-satu masa dan kedua-duanya perlu memperoleh keputusan negatif ujian RTK-Ag atau RT-PCR Covid-19 terlebih dahulu dengan tempoh masa yang dibenarkan selama 15 minit.

"Selain itu, bagi penerangan situasi semasa pesakit, pengambilan ‘consent’ dan sebarang perbincangan bersama waris yang bukan peneman pesakit hendaklah dilakukan di luar kawasan perawatan," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Sukari menjelaskan pengambilan pesakit yang telah dibenarkan pulang oleh waris juga dibenarkan di luar kawasan perawatan.

“Kejayaan mengawal jangkitan Covid-19 memerlukan kerjasama semua pihak. Sila jujur semasa melakukan saringan deklarasi dan sekiranya anda berisiko atau sedang mengalami simptom yang berkaitan Covid-19, jangan datang ke Hospital USM sebagai peneman pesakit,” katanya.

Hospital USM telah melaksanakan Polisi Tiada Pelawat (No visitor’s policy) sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020 sehingga kini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!