Tidak perlu tukar kerajaan, sebaliknya lantik Ismail Sabri sebagai PM
KUANTAN - Tidak perlu menukar kerajaan, sebaliknya melantik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Pengerusi Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Faiz Hashim berkata, pelantikan pemimpin daripada UMNO mampu membawa kerajaan ke arah lebih kuat dan stabil kerana parti terbabit mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
"Belum tiba masanya lagi untuk adakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 atas faktor pandemik Covid-19 selain majoriti rakyat belum bersedia untuk mengundi.
"Kalau hendak tukar kerajaan? Lagi tidak masuk akal. UMNO sesekali tidak akan bekerjasama dengan DAP kerana agenda perjuangan parti masing-masing sudah cukup ketara berbeza.
"Apa yang terbaik ketika ini adalah sudah sampai masanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur secara terhormat dan memberi laluan kepada Ismail Sabri untuk mengemudi negara ke arah yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Isnin, kerajaan PN memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.
Pengumuman mengenai pembatalan ordinan berkaitan darurat berkenaan mendatangkan bantahan daripada pihak pembangkang yang menuntut agar Takiyuddin menjelaskan bilakah peraturan itu dibatalkan dan mekanisme pembatalan itu dibuat.
Pada Khamis, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan itu masih belum diperkenankan Seri Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Muhammad Faiz menjelaskan, kejadian yang berlaku dalam Dewan Rakyat beberapa hari lalu begitu mendukacitakan.
Jelasnya, pembatalan darurat yang dibuat sebelum diperkenankan Seri Paduka Baginda dilihat seperti mencabar dan membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
"Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila Dewan Parlimen yang mulia dipermain dan dikelirukan sehinggakan mencemarkan Institusi Istana dan Raja.
"Sidang Parlimen menjadi gawat dan kecoh sehingga terpaksa ditangguhkan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!