Rumah transit bantu golongan miskin mengejut

A
A
A

IPOH - Lima rumah transit dengan setiap daripadanya dilengkapi satu bilik tidur dan satu bilik mandi disediakan khusus untuk golongan miskin mengejut di bandar raya Ipoh.

Kemudahan itu disediakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melibatkan kediaman seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu di Blok G, Pangsapuri Waller Court, dekat sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, keutamaan bagi kemudahan itu diberikan kepada mereka yang kehilangan punca pendapatan akibat diberhentikan kerja dan penutupan peniagaan.

Menurutnya, turut diberikan keutamaan ialah golongan ibu tunggal yang mempunyai anak yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun yang lalu.

"Mereka yang terpilih akan menginap secara sementara sehingga mampu berdikari dan mencari rumah lain untuk disewa.

"Bagi memberi keselesaan, setiap unit rumah itu akan disediakan kelengkapan perabot, dapur bersama barangan makanan," katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Julai di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, melalui program itu juga, MBI menyediakan bantuan modal perniagaan atau peluang pekerjaan agar setiap mereka dapat meneruskan hidup dan mampu menyewa rumah lain.

Katanya, bagi melancarkan program itu, MBI akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah dikenal pasti untuk menguruskan unit-unit tersebut serta mengenal pasti golongan yang terkesan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"MBI prihatin dengan permasalahan golongan miskin mengejut yang terkesan dalam tempoh pandemik Covid-19 terutama melibatkan warga kota dan berharap inisiatif digerakkan ini dapat membantu meringankan beban mereka," katanya.

Media pada 6 Julai lalu melaporkan MBI sedang mengesan penduduk yang menjadi miskin secara mengejut akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak Covid-19 bagi menyampaikan bantuan diperlukan demi kelangsungan hidup mereka.

Langkah itu selepas PBT terbabit mengesan peningkatan keluarga yang terjejas pendapatan akibat kehilangan pekerjaan dan perniagaan milik mereka yang tidak dibenarkan beroperasi ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Golongan miskin mengejut akibat PKP dalam radar MBI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!