Doa Mufti Wilayah buat Adib
KUALA LUMPUR - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kagum dengan semangat pasukan bomba kerana bukan sahaja sanggup berdepan dengan kebakaran malah api kemarahan sentimen perkauman yang sengaja dipermainkan.
Bahkan katanya, bomba sanggup menggadaikan nyawa semata-mata memastikan Malaysia dalam keadaan aman, makmur serta selamat daripada bencana.
“Anda bukan sahaja mampu berhadapan dengan api, tetapi juga api kemarahan akibat sentimen yang dimainkan.
“Ini iktibar kepada rakyat Malaysia bagi menghormati pasukan keselamatan seperti yang kadangkala terpaksa bertarung nyawa semata-mata memastikan Malaysia dalam keadaan aman, makmur serta selamat daripada bencana,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Beliau sebelum itu melawat Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, anggota bomba yang cedera diserang perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selasa lalu, yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Dalam lawatannya, beliau sempat melihat sendiri rawatan yang diterima Muhammad Adib dan bertemu keluarganya.
“Alhamdulillah, sebelum menuju ke Masjid al-Hidayah, Sentul untuk Solat Jumaat, sempat kami singgah ke IJN untuk menziarahi anggota bomba yang amat kami kagumi atas pengorbanannya yang tercedera dalam operasi insiden rusuhan di kuil tempo hari.
“Kami merafakkan doa kepada yang Maha Esa agar disembuhkannya dan diberi kesabaran kepada keluarganya serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang amat berdedikasi dan berintegriti dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Muhammad Adib sudah mula telah sedar]
Selepas tiga hari menerima rawatan di IJN, Muhammad Adib kini telah sedar dan menunjukkan perkembangan positif.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata, Muhammad Adib telah sedar pagi ini dan memahami arahan yang diberikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!