Bahiyya Haneesa terokai pelbagai genre muzik

FOTO: INSTAGRAM BAHIYYA HANEESA
FOTO: INSTAGRAM BAHIYYA HANEESA
A
A
A

BERMULA dengan cover pelbagai lagu trending secara acapella, kini kumpulan nasyid dikenali Bahiyya Haneesa semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

Suara merdu dan harmoni yang dimiliki oleh sepuluh anggota remaja ini telah menarik minat syarikat rakaman Sony Music Malaysia. Hasilnya Bahiyya Haneesa kini sudah mempunyai single berjudul, Material sebagai taruhan sulung.

“Single sulung kami ada unsur keagamaan dan menyeluruh. Maksudnya, pelbagai berbangsa boleh mendengar kerana ia mempunyai mesej yang positif.

“Kami tak mahu sekadar menyanyi lagu kerohanian terhad kepada umat Islam sahaja tetapi juga terbuka kepada bukan Islam,” ujar Wafa selaku ketua kumpulan.

Single pertama mereka telah digubah sepenuhnya oleh komposer terkenal, Omar K dan Ikhwan Fatanna.

FOTO: INSTAGRAM BAHIYYA HANEESA
FOTO: INSTAGRAM BAHIYYA HANEESA

Menurut Wafa, setiap orang mempunyai perspektif yang berbeza dan bagi mereka harus keluar daripada kepompong.

Artikel Berkaitan:

“Sasaran kami tidak semestinya kepada mereka yang suka dengar lagu nasyid sahaja, kalau boleh nak tarik pendengar yang gemarkan genre pop, lagu Inggeris, Korea dan banyak lagi,” jelas Wafa.

Bahiyya Haneesa sebulat suara berharap masyarakat dapat membuka fikiran mereka untuk menerima muzik berunsur acapella.

“Insya-ALLAH akan kami lakukan yang terbaik dan sentiasalah menyokong dan kami akan terus pertingkatkan lagi mutu nyanyian untuk berjaya di lapangan seni dan hiburan tanah air,” katanya lagi.

Mengimbas kembali perjalanan Bahiyya Haneesa sebelum bergelar artis berkumpulan, mahasiswi dari Universiti Malaya (UM) ini merupakan sebuah kumpulan penyanyi nasyid biasa.

Namun pada 2016 kumpulan ini mula menarik perhatian umum apabila video cover lagu nasyid secara acapella mereka tersebar di media sosial.

Bahiyya Haneesa terdiri daripada Nor Suhaida Sahrani atau Aida, Nor Afiqah Salehuddin (Afi), Waheeda Batrisyia Noor Azlan (Bonn), Saidatul Syahirah Abd Wahah (Syasya) dan Nurfatin Fauzi (Fatin).

Diikuti Nurul Amaninah Pius (Nina), Azra Afiqah Mohd Amir (Azra), Nur Wada Amira Hisamudin (Wafa), Siti Nabila Sallehudin (Bella) dan Nur Fatin Nasuha Azmi (Suha).

Anggota kumpulan ini sedang menuntut dalam bidang yang berbeza dan lingkungan usia di antara 21 tahun sehingga ke 24.

Urus masa teratur

FOTO: INSTAGRAM BAHIYYA HANEESA
FOTO: INSTAGRAM BAHIYYA HANEESA

Oleh kerana setiap mereka masih belajar, justeru, pengurusan masa itu adalah sangat penting.

Ujar Wafa, bagi pengurusan masa antara belajar dan latihan menyanyi, mereka menyusun mengikut jadual yang telah masing-masing berikan.

“Meskipun tidak semua dapat menghadirkan diri tetapi dalam tujuh orang itu kami pasti akan berjumpa untuk latihan dan sebarang aktiviti berkaitan.

“Cabaran kami sebenarnya lebih kepada apabila nak mendapatkan hasil yang terbaik. Bila kami cover sesebuah lagu pasti lebih dari sepuluh kali dilakukan sebab untuk dapatkan keharmonian,” kata Wafa.

Bercakap mengenai kecaman netizen, menjadi adat buat mereka yang bergelar artis apabila Bahiyya Haneesa juga tidak terlepas daripada hal tersebut.

“Setakat ini tak banyak dan berharap tidak adalah komen negatif untuk masa akan datang. Ada yang komen mereka mahu kami kekal menjadi kumpulan nasyid sahaja.

“Begitu pun, kami tak boleh mendengar sangat komen netizen, kerana apa yang penting kami tahu apa yang terbaik untuk kumpulan ini,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!