Ivermectin dijual dalam talian pada harga serendah RM60

Antara Ivermectin yang dijual dalam platform e-dagang.
Antara Ivermectin yang dijual dalam platform e-dagang.
A
A
A

SHAH ALAM – Walaupun keputusan sama ada Malaysia akan membenarkan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 hanya akan diketahui pada September ini tetapi ia didapati dijual dalam talian.

Semakan Sinar Harian menerusi platfrom e-dagang mendapati, ubat itu dijual pada harga berbeza bergantung kepada berat, biji atau kotak yang dimahukan oleh pengguna.

Hasil semakan mendapati, harga penjualan ubat ini bermula dari RM60 sehingga RM740.

Di negara ini, selain ia dijual dalam talian, ubat yang digunakan untuk merawat masalah cacing itu juga difahamkan boleh dibeli dari luar negara.

Menurut salah seorang pembeli yang enggan dikenali berkata, dia membeli ubat berkenaan kerana ada pihak yang mendakwa ia dapat merawat Covid-19.

"Saya beli sebagai persediaan kalau-kalau dijangkiti nanti, lebih baik saya cuba dan mungkin menanggung kesan sampingan berbanding mati akibat Covid-19," katanya kepada Sinar Harian.

Jelas lelaki tersebut, dia menyedari ubat tersebut digunakan untuk merawat cacing dan yakin tidak mendatangkan bahaya.

"Jika boleh makan untuk atasi masalah cacing kenapa tidak boleh makan untuk rawat Covid-19? Lagi pun, memang ada kawan yang sudah ambil dan tidak ada kesan sampingan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, keputusan sama ada Malaysia akan membenarkan penggunaan Ivermectin untuk merawat pesakit Covid-19 akan diketahui selepas keputusan kajian berhubung penggunaan ubat itu diperoleh pada September nanti.

Setakat ini, jelas beliau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi kelulusan khas penggunaan ubat ini secara off label.

Penggunaan secara off label merujuk kepada penggunaan ubat di luar tertera dalam label dan belum atau di luar persetujuan badan atau lembaga bertanggungjawab iaitu Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Sebelum ini beberapa negara seperti India dan Peru sudah menghentikan penggunaan Ivermectin yang didapati tidak berkesan untuk menurunkan kes Covid-19.

Antara kesan sampingan mengambil ubat tersebut adalah badan akan rasa lemah, muntah-muntah, sakit dada, tangan kaki menggeletar, sakit-sakit sendi, bengkak mata, bengkak kaki dan tangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!