BN, UMNO tetap sokong kerajaan sedia ada: Hishammuddin
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) dan UMNO tetap menyokong kerajaan sedia, kata Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) berkata, beliau senada dengan pendirian BN dan UMNO yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis.
"Kita dalam BN dan UMNO telah membuat pendirian dan diumumkan oleh TPM semalam," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan peralatan perubatan Kerajaan Arab Saudi melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Center (KSrelief) untuk membantu Malaysia menangani cabaran pandemik Covid-19 di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini pada Jumaat.
Pada Khamis, Ismail Sabri yang juga Ketua Whip Kerajaan berkata, lebih 110 ahli Parlimen masih menyokong kerajaan sedia ada.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada Khamis. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!