Vaksinasi secara 'walk in' bendung Covid-19

Petugas kesihatan memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada warga Simpang Pertang. -Foto Bernama
Petugas kesihatan memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada warga Simpang Pertang. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Vaksinasi secara jumpa terus atau ‘walk in’ yang bermula pada 1 Ogos ini akan membantu mempercepat usaha membendung wabak Covid-19 dan meningkatkan kadar imunisasi di Lembah Klang, yang secara konsistennya menyumbang kepada kebanyakan kes harian.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata, menerusi program itu, mereka yang tercicir dan belum mendapat janji temu masing-masing akhirnya boleh mendapatkan suntikan dos pertama vaksin mereka.

“Apabila kita laksanakan ‘walk in’ untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas kira-kira dua minggu yang lalu kita dapati kapasiti di Lembah Klang dapat menampung permintaan yang ramai itu.

“Harap pada 1 Ogos ini, kita juga boleh menampung unjuran kapasiti yang meningkat di pusat vaksinasi dan diharapkan dengan langkah dan strategi yang kita rangka dan laksanakan, akan dapat mengawal kesesakan,” katanya dalam sesi pembentangan mengenai vaksin Covid-19 bersama media secara maya.

Beliau berkata, selain bantuan daripada pelbagai agensi bagi mengawal kesesakan dan sebagainya, penstriman video secara langsung akan turut dibuat untuk menunjukkan situasi semasa di PPV terbabit.

“Dengan adanya penstriman (video) secara langsung, mereka yang hendak mendapatkan vaksin di satu-satu PPV itu boleh tahu keadaannya sama ada sesak dengan orang ramai atau tidak... jadi mereka yang hendak ke sana boleh tengok dan buat keputusan hendak pergi pada hari itu atau tidak,” katanya.

Mengulas situasi sesak di PPV Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang menyaksikan warga asing beratur panjang hingga ke bahu jalan utama untuk mendapatkan suntikan pada Rabu lepas, Dr Hishamshah berkata, masalah itu sudah dapat diatasi semalam dan pihaknya akan terus melakukan pemantauan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menasihati dan mengingatkan pihak majikan dalam sektor industri untuk menghantar pekerja mereka bagi mendapatkan vaksinasi secara berperingkat dan bukannya serentak bagi mengawal keadaan di PPV.

Artikel Berkaitan:

“Kesesakan di KLCC itu berlaku apabila pekerja kilang dan sebagainya datang serentak yang menyaksikan mereka datang berbelas-belas bas sekali gus... malah kadang-kadang ada pekerja mereka yang dari negeri lain rentas negeri untuk divaksinasi di Lembah Klang.

“Kita sudah nasihat pihak industri agar jangan begitu supaya pemberian vaksin ini lebih teratur dan kesesakan dapat dikurangkan malah masyarakat awam lain pun tidak takut datang... orang takut bila terlalu ramai boleh mencetuskan kluster PPV, jadi kita cuba hendak elakkan,” katanya.

Beliau juga berkata, meskipun 85.5 peratus jumlah populasi dewasa di Lembah Klang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos pada Rabu lepas namun pihaknya berhasrat untuk meningkatkan lagi kadar suntikan kepada jumlah yang lebih tinggi terutama kepada seluruh populasi.

Menyentuh isu campuran dua vaksin, Dr Hishamshah berkata, hanya individu di dalam negara yang mengalami alahan teruk terhadap suntikan dos pertama vaksin Covid-19 sahaja dibolehkan menggunakan vaksin jenis lain untuk suntikan kedua.

Beliau memberitahu, antaranya mereka yang mengalami Anafilaksis iaitu reaksi alergi yang teruk dan berpotensi mengancam nyawa.

“Pada keadaan bila mana pengambilan dos pertama itu terdapat alahan yang teruk maka dos kedua itu kita boleh berikan vaksin jenis yang lain... itu kita boleh laksanakan.

“Jika penerima mempunyai alahan sangat teruk selepas mengambil suntikan vaksin jenis mRNA contohnya, jadi dos kedua boleh menggunakan vaksin jenis teknologi lain,” katanya.

Menurutnya, KKM bagaimanapun belum bercadang untuk melaksanakan pemberian dua jenis vaksin COVID-19 kepada penerima lain berikutan tiada data kukuh mengenai kaedah itu.

“Buat masa ini, data rasmi belum diperoleh kerana terdapat kajian yang sedang dijalankan di beberapa negara bagi meneliti hasil tindakan mencampurkan dos-dos sama ada akan memberi manfaat dan berkesan dari segi perlindungan jika kita menggunakan strategi sedemikian,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata isu pemberian vaksin berlainan dan isu suntikan vaksin ketiga atau vaksin ‘booster’ akan dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) minggu depan susulan kekurangan data yang menyokong keperluannya.

Tambah beliau, KKM juga sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk memastikan isu kekurangan bekalan oksigen di fasiliti kesihatan dapat diatasi sekali gus memastikan ia sentiasa mencukupi.

Dr Hishamshah berkata pelbagai tindakan dilaksanakan termasuk membeli beberapa ribu pemekat oksigen untuk diguna pakai di fasiliti kesihatan selain pengisian semula silinder oksigen di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) kini dilakukan di lokasi tanpa perlu ke kilang untuk tujuan isi semula.

“Kita telah mengenal pasti pelbagai kaedah tentang bagaimana kita dapat membekalkan oksigen mencukupi di seluruh negara terutamanya meningkatkan pemberian oksigen kepada pesakit yang memerlukan di hospital.

“Kapasiti bekalan oksigen kita buat masa ini adalah mencukupi dan kita sentiasa melihat kepada permintaan luar jangkaan, itu pun sudah kita fikirkan dan bagaimana kita dapat bersiap siaga sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!