Tahap keberkesanan vaksin Sinovac melebihi 50 peratus: SIRIM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Vaksin Sinovac mampu mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 apabila ia melebihi 50 peratus tahap keberkesanannya seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, ia juga dapat dibuktikan melalui data perubatan mengenai pengalaman Chile menggunakan vaksin Sinovac yang diterbitkan dalam laporan New England Journal of Medicine 7 Julai lalu.

“Kalau tengok tahap keberkesanan vaksin Sinovac untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 65.9 peratus, melebihi 50 peratus yang ditetapkan oleh WHO.

“Kadar untuk mengurangkan risiko kemasukan ke hospital pula adalah sebanyak 87.5 peratus, diikuti penurunan kes di unit rawatan rapi (ICU) 90.3 peratus dan mencegah kematian 86.3 peratus.

“Justeru, kita kena yakin yang ia selamat dan berjaya mengekang pandemik sedang melanda negara pada hari ini,” katanya dalam Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian secara dalam talian pada Jumaat lepas.

Sebelum ini, Pusat Kawalan Penyakit China mengakui kelemahan vaksin keluaran mereka, Sinovac berbanding vaksin yang dikeluarkan negara Barat.

Pengarahnya, Gao Fu berkata, vaksin Sinovac tidak mempunyai kadar perlindungan yang sangat tinggi apabila mendapati tahap keberkesanannya adalah serendah 50.4 peratus.

Keadaan ini menimbulkan kegusaran rakyat Malaysia untuk menerima vaksin berkenaan, malah ada yang turut membandingkan vaksin manakah yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, penggunaan vaksin Sinovac dan Pfizer mempunyai keberkesanan yang sama dalam melawan virus pandemik Covid-19 berdasarkan data perubatan.

Dalam pada itu, Ahmad Sabirin berkata, pihaknya juga sedang meneliti secara terperinci mengenai keberkesanan vaksin Sinovac.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan, vaksin Covid-19 sebenarnya banyak bergantung kepada genetik setiap bangsa.

“Mungkin rakyat Eropah mempunyai tahap keberkesanan yang lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia. Sama juga dengan rakyat Turki dan Indonesia yang masing-masing turut mempunyai tahap keberkesanan berbeza.

“Jadi, ini mungkin ada kena mengena dengan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) setiap tubuh badan manusia mengikut genetik masing-masing,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!