270 warga Polis KL derma darah
KUALA LUMPUR - Seramai 270 orang warga polis Kuala Lumpur telah menderma darah di Pusat Darah Negara sebagai tanda keprihatinan polis terhadap masyarakat.
Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kuala Lumpur, Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, program yang dijalankan bermula Isnin hingga Jumaat itu adalah bertujuan untuk membantu Pusat Darah Negara meningkatkan jumlah bekalan darah agar mencukupi untuk kegunaan di hospital.
"Seramai 419 orang yang terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis serta pegawai awam telah hadir ke Pusat Darah Negara.
"Setelah melalui proses saringan oleh pihak Pusat Darah Negara, hanya 270 orang didapati layak dan berjaya menderma darah," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Shaharon Anuar berkata, penyediaan bekalan darah melalui program derma darah yang dijalankan oleh Pusat Darah Negara dan tabung-tabung darah merupakan perkhidmatan kesihatan yang penting (essential).
"Derma darah juga satu prosedur perubatan yang selamat dan terkawal dengan mengamalkan mekanisma kawalan infeksi untuk memastikan keselamatan penderma, bekalan darah dan petugas kesihatan yang terlibat," katanya.
Menurutnya, perkhidmatan transfusi darah adalah sangat kritikal demi menyelamatkan nyawa pesakit.
"Justeru, kita menyeru orang ramai supaya turut sama menderma darah bagi membantu Pusat Darah Negara memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan pesakit-pesakit.
"Kita amat berharap usaha murni ini sedikit sebanyak dapat membantu Pusat Darah Negara dan masyarakat yang memerlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!