Transformasi suara komuniti ke aliran perdana
PERNAH dilabel sebagai akhbar nyamuk suatu ketika dahulu, namun ia tidak melemahkan semangat Sinar Harian dan warganya.
Sebaliknya, label tersebut telah memberi kekuatan kepada mereka untuk menghasilkan laporan berita berkualiti. Selepas lebih sedekad melapor dan merakamkan momen suka duka rakyat Malaysia, akhbar yang bermula di Kelantan dan Terengganu itu akhirnya meniti fasa kematangan. Berita yang dilaporkan mula menjadi rujukan ramai, terutamanya dalam hal-hal berkaitan isu rakyat dan negara.
Tidak cukup dengan itu, Sinar Harian juga berjaya membongkar penyelewengan, memperjuangkan hak orang ramai dan membantu rakyat yang berdepan kesulitan hidup. Malah, sebahagian besar laporan berita yang dicetak juga telah menjadi isu besar sehingga dibahaskan di peringkat nasional. Dalam tidak sedar, tempoh 15 tahun secara perlahan-perlahan turut mengubah status Sinar Harian.
Dari sebuah akhbar komuniti, Sinar Harian berubah menjadi akhbar aliran perdana, sekali gus memberikan saingan sengit kepada akhbar lain yang lebih lama berada dalam pasaran tempatan. Hari ini selepas 15 tahun, transformasi Sinar Harian menjadikannya akhbar bahasa Melayu paling laris dan nombor satu di Malaysia.
SKUAD CAKNA
Dahulu, Sinar Harian menggunakan skuad untuk mendapatkan berita di seluruh pelusuk negara. Skuad-skuad yang popular dengan gelaran Skuad Cakna terdiri dalam kalangan wartawannya itu ditempatkan di daerah utama setiap negeri.
Masing-masing disediakan dengan sebuah kereta Perodua Kancil, kamera digital dan PDA untuk memudahkan mereka mencari dan melaporkan berita.
Bagaimanapun, Skuad Cakna telah dimansuhkan dan digantikan dengan wartawan biro yang beroperasi di ibu negeri. Namun, fungsi dan tugas mereka masih sama iaitu mendapatkan dan melaporkan berita dari negeri masing-masing.
8 EDISI, 4 EDISI KINI NASIONAL
Malah, sebelum disatukan sebagai akhbar nasional, Sinar Harian juga terpecah kepada beberapa edisi iaitu Utara; Perak; Kelantan; Terengganu; Pahang; Selangor dan Kuala Lumpur; Melaka dan Negeri Sembilan (MNS) serta Johor.
Edisi tersebut kemudiannya disatukan kepada empat bahagian iaitu Utara (Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak); Tengah (Selangor, KL dan Pahang); Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu) serta Selatan (Johor, Melaka dan Negeri Sembilan).
Bagi memastikan nama dan fungsinya sebagai media terus relevan, Sinar Harian turut melakukan transformasi digital dengan mengembangkan lagi jenamanya kepada beberapa produk dalam talian seperti Sinar Online, Wacana Sinar, Sinar TV, Sinar Plus dan GPS Bestari.
Produk-produk tersebut telah membawa Sinar Harian kepada satu dimensi baharu dalam melaporkan berita yang mana ia lebih pantas dan dinamik berbanding sebelumnya. Malah, produk-produk tersebut juga telah mengukuhkan lagi nama Sinar Harian dalam dunia penerbitan tempatan.
Sungguhpun begitu, Sinar Harian tetap tidak melupakan edisi cetaknya yang banyak membantu memperkenalkan jenama tersebut. Justeru, pada tahun 2020 Sinar Ahad telah diterbitkan bagi memastikan pengisian hujung minggunya lebih santai, mantap dan dinamik.
Transformasi Sinar Harian juga dilihat dengan jelas melalui penampilan akhbar itu sendiri. Reka letaknya sentiasa berubah mengikut perubahan masa bagi memberi kepuasan kepada pembaca.
Ia boleh dilihat menerusi muka depannya yang mana tajuk utama dan logo akbar tersebut berubah dalam tempoh lima tahun, sekali gus menunjukkan kematangan Sinar Harian dalam menyampaikan berita yang Telus dan Tulus.
ANUGERAH DITERIMA SINAR HARIAN
2021
- Anugerah Silver Play Button Saluran YouTube Sinar Harian
2020
- Majlis Malam Wartawan Malaysia 2020
Anugerah: Laporan Berita Cemerlang Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) Malaysia Press Institute (MPI)-Petronas 2019
Laporan: Kematian Misteri Hantui Gua Musang
Anugerah: Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas Laporan: Plumbum Ancam Nyawa Penduduk
Anugerah: Desain Halaman Pertama Terbaik
Laporan: Gas Beracun Dari Bawah Tanah, Arahan Padam Kebakaran dan Ancaman Jerebu Hingga Awal Oktober
- Majlis Anugerah Kewartawanan Kelantan 2019/2020
Anugerah: Laporan Khas Terbaik dan Laporan Rencana Terbaik
Laporan: Etok Makanan Orang Kaya, Adat Semadi Mayat Atas Pokok dan Ancaman Pil Kuda Kacuk
- Majlis Anugerah Penghargaan Khas Media Program STAR/IGROW 2020
Anugerah: Laporan Berita Akhbar Terbaik
Laporan: Kek Lapis Mimi Rosita laris
2019
- Majlis Anugerah Medical Travel Media (MTMA) 2019
Anugerah: Anugerah Medical Travel Editorial Team of the Year 2019
Laporan: Prospek Besar Industri Kesihatan Hospital Malaysia bertaraf dunia
- Majlis Hari Apresiasi Media Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2019
Anugerah: Anugerah Media Cetak
Laporan: Dapat tampung jenazah 20 tahun
2018
- Majlis Anugerah Pulau Pinang Hijau 2018
Anugerah: Anugerah Istimewa Penulisan Rencana Bahasa Melayu
Laporan: Pulau Pinang Ke Arah Negeri Paling Hijau
- Malam Media Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2018
Anugerah: Anugerah Media MPK (Media Cetak)
Laporan: Rampas Tanah Jika Ingkar
2017
- Majlis Anugerah Sastera dan Media Negeri Sembilan 2017
Anugerah: Anugerah Wartawan Cemerlang Bahasa Melayu
Laporan: Pengiktirafan Masyarakat Cina Muslim
2016
- Majlis Anugerah Media Johor 2016
Anugerah: Berita Ekonomi Terbaik
Laporan: Produk Bangsa Johor
2015
- Majlis Malam Anugerah Kewartawanan UNISZA 2015
Anugerah: Anugerah Khas Media Naib Canselor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!