Muhyiddin perlu 'berehat', beri laluan Ismail Sabri memimpin
KUALA TERENGGANU - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disarankan 'berehat' bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk menerajui negara.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, langkah itu wajar diambil supaya tampuk kepimpinan baharu dapat menjayakan strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Najmil Faiz berkata, krisis yang berlaku berhubung Ordinan Darurat yang tidak mengikut perlembagaan negara memberi gambaran jelas bahawa Muhyiddin tidak kompeten dalam menerajui kerajaan.
"Tidak pernah lagi dalam sejarah negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong murka dengan pimpinan kerajaan khususnya terhadap Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang.
"Pada masa yang sama, masalah ini turut akan menjejaskan segala usaha yang dilakukan khususnya menteri UMNO dalam menjayakan PPN," katanya menerusi satu kenyataan, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Najmil Faiz memberi gambaran bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri merupakan individu paling layak diangkat menjadi Perdana Menteri.
"Tidak dinafikan pengalaman dan 'track record' Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri amat diperlukan dalam pentadbiran kerajaan kini.
"Beliau merupakan menteri 'senior' ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sinonim dengan penggubalan dasar strategik negara seperti Program Transformasi Ekonomi ketika menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang terbukti berjaya dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat.
"Pengalaman beliau sebagai Menteri Kanan Pertahanan memberi kelebihan dalam pentadbiran kerajaan dalam menangani isu-isu kontemporari seperti keselamatan, kedaulatan negara serta pengurusan krisis," katanya.
Dalam pada itu, Najmil Faiz berkata, sokongan UMNO terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah laluan sementara bagi menyelesaikan masalah Covid-19, bantuan rakyat, serta untuk mencapai sasaran imuniti kelompok, sebelum membubarkan Parlimen untuk kembalikan mandat kepada rakyat.
"Mandat rakyat akan dikembalikan, namun masanya bukanlah sekarang kerana kita belum lagi mencapai imuniti kelompok dan mengurangkan kes Covid-19.
"Jika Perdana Menteri meletakkan jawatan, seluruh kabinet akan terbubar. Sama seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH). Politik akan menjadi lebih tidak stabil dan hanya mensia-siakan segala usaha Menteri UMNO selama ini," katanya.
Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Kuala Terengganu berkata, komitmen ditunjukkan Menteri UMNO lain seperti Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin terbukti kompeten apabila kadar vaksinasi Malaysia adalah antara yang terpantas di dunia, dengan suntikan vaksin mencecah lebih daripada 400,000 dos sehari.
Selain itu, katanya, Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berjaya mendapatkan 1 juta dos vaksin AstraZeneca dan pelbagai lagi bentuk perubatan hasil hubungan diplomatik yang baik dengan kerajaan Arab Saudi.
"Ahli UMNO serta rakyat perlulah rasional dalam polemik ini. Jangan kita marahkan nyamuk kelambu dibakar. Kita semakin hampir mencapai imuniti kelompok. Insha-ALLAH kita akan kembali hidup dengan normal. Inilah matlamat UMNO dalam kerajaan PN.
"Meruntuhkan kerajaan sedia ada bukanlah langkah terbaik dalam krisis ini. Negara kita mengalami krisis politik dan juga krisis keselamatan melibatkan nyawa rakyat.
"Langkah terbaik adalah Tan Sri Muhyiddin 'berehat' dan memberi laluan kepada Datuk Seri Ismail Sabri bagi menjayakan PPN demi menyelamatkan nyawa rakyat," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Tiada pilihan selain tuntut Muhyiddin letak jawatan: Anwar
Tun M desak Muhyiddin, menteri kabinet letak jawatan
Muhyiddin, seluruh kabinet PN digesa letak jawatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!