Majistret tegur Farid Kamil kerana datang lewat lagi
PENGARAH dan pelakon, Datuk Farid Kamil Zahari diberi peringatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini agar lebih peka dengan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan berhubung pertuduhan jenayah dan narkotik yang dihadapinya.
Majistret Nor Ariffin Hisham membuat teguran itu terhadap Farid Kamil, 38, selepas pelakon itu hadir lewat ke mahkamah pada perbicaraan kes urinnya hari ini.
Ketika ditanya Nor Ariffin mengapa dia hadir lewat pagi ini, Farid Kamil memberitahu mahkamah bahawa dia mendapat makluman agak lambat dari pihak peguamnya yang sedang cuti sakit mengenai perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada hari ini.
"Saya minta maaf kerana terlewat hari ini," kata Farid Kamil yang sepatutnya hadir pada jam 9 pagi, namun tiba di mahkamah pada jam 12.30 tengah hari.
Nor Ariffin yang mendengar permohonan maaf itu kemudian mengingatkan Farid Kamil bahawa kehadirannya adalah wajib meskipun peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakilinya masih berada dalam cuti sakit.
"Kamu tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada peguam. Ini merupakan kali kedua kejadian (kelewatan) sebegini berlaku, oleh sebab itu saya tetap minta kamu datang hari ini walaupun lewat.
"Walaupun peguam tidak dapat hadir tetapi kehadiran kamu adalah wajib pada setiap tarikh perbicaraan melainkan terdapat alasan munasabah seperti cuti sakit atau sebagainya," katanya.
Terdahulu, Megat Syazlee turut memohon maaf atas kelewatan pihaknya dan memohon tarikh perbicaraan hari ini dilapangkan kerana beliau masih dalam cuti sakit.
"Kemungkinan cuti sakit saya akan dilanjutkan berikutan kecederaan yang dialami masih belum sembuh selepas menjalani pembedahan bulan lalu, sekiranya terdapat perubahan (mengenai cuti sakit), saya akan memaklumkan kepada pihak mahkamah lebih awal," kata Megat Syazlee yang hadir ke mahkamah dengan keadaan tangan kanan bersimen.
Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran yang mengesahkan telah menerima sijil cuti sakit itu semalam, tidak membantah permohonan peguam itu.
Mahkamah menetapkan 13 hingga 15 Mac dan 20 serta 21 Mac sebagai tarikh perbicaraan baru pelakon itu.
Pada 16 Januari tahun lepas, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.
Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 4.30 petang, tarikh sama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!