Tiada himpunan 'keluar dan #lawan' di Kota Kinabalu

Mohd Zaidi (kanan) memantau penugasan anggota polis di sekitar Padang Merdeka Kota Kinabalu.
Mohd Zaidi (kanan) memantau penugasan anggota polis di sekitar Padang Merdeka Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Suasana lengang dan tidak ada sebarang perhimpunan dilakukan di pusat bandar Kota Kinabalu berikutan penganjuran 'keluar dan #lawan' yang diadakan di seluruh negara pada Sabtu.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Padang Merdeka di sini setakat jam 3 petang mendapati kawalan ketat turut dilakukan oleh pihak polis.

Beberapa lokasi di pusat beli belah yang menjadi tempat tumpuan orang ramai juga dikawal sepenuhnya, namun tidak ada sebarang perarakan dan perhimpunan dilakukan oleh mana-mana individu termasuk yang memakai baju hitam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pemantauan dilakukan di beberapa lokasi yang berpotensi untuk dijadikan tempat berkumpul.

"Setakat ini, tiada sebarang pergerakan kumpulan atau perhimpunan diadakan seperti yang diuar-uarkan.

"Antara lokasi yang kita letakkan penugasan adalah sekitar Padang Merdeka, pusat beli belah Imago dan One Borneo," katanya ketika ditemui pemberita di Padang Merdeka pada Sabtu.

Bagaimanapun, Mohd Zaidi berkata, pemantauan akan dibuat sehingga jam 5 petang bagi memastikan tiada pihak yang melakukan sebarang perhimpunan di kawasan ini.

"Kita menasihatkan supaya semua pihak tidak menyertai sebarang perhimpunan atau demonstrasi seperti yang diserbu dalam media sosial.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada, kita akan ambil tindakan undang-undang termasuk mengeluarkan kompaun kerana semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tidak dibenarkan membuat sebarang perhimpunan atau bantahan di tempat awam," katanya.

Sebelum itu, pemantauan dibuat sejak jam 9 pagi membabitkan seramai 112 pegawai dan anggota polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!