Pengawal keselamatan maut rempuh kereta dipandu jururawat
ALOR GAJAH - Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta dipandu oleh seorang jururawat dalam kejadian di lampu isyarat Jelatang, Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ), di sini, pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, Achmad Alam Sah Hasan, 34, meninggal dunia di tempat kejadian manakala jururawat wanita berusia 26 tahun itu tidak cedera.
"Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kelemak menunggang motosikal jenis Honda RS150. Setibanya di simpang lampu isyarat Jelatang, mangsa yang dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menghala ke Tampin, Negeri Sembilan telah merempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah bertentangan.
"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah. Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!