Tanah gambut terbakar: Bomba berdepan risiko tanah jerlus

Polis turut berkawal di Jalan Qinzhou
Polis turut berkawal di Jalan Qinzhou
A
A
A

KUANTAN - Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berdepan risiko tanah gambut terbakar yang jerlus dalam operasi memadamkan kebakaran hutan di Gebeng, di sini.

Pengarahnya, Nor Hisham Mohammad berkata, sekiranya anggota terpijak tanah tersebut boleh tenggelam ke kedalaman melebihi satu meter.

"Bayangkan jika terjatuh ke dalam tanah jerlus yang di dalamnya masih terbakar.

"Tanah ini strukturnya peroi dan api telah membakar di kawasan bawah permukaan tanah," Keadaan itu juga mengakibatkan pokok boleh tumbah serta menyukarkan pergerakan anggota bomba," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi.

Beliau berkata, pokok-pokok di kawasan tersebut kebanyakannya jenis Akasia dan akarnya sudah terbakar serta boleh tumbang pada bila-bila masa.

"Itu antara cabaran dan risiko anggota terlibat.

"Kita tidak mahu anggota dan peralatan terperangkap dalam kebakaran tersebut," ujarnya.

Nor Hisham berkata, risiko lain dihadapi JBPM adalah tiupan angin yang sukar dijangka menyebabkan api marak dan merebak dengan cepat. Ini membahayakan anggota yang sedang memadam kebakaran.

Artikel Berkaitan:

"Ada keadaan di mana kita tidak boleh membaca corak pergerakan api.

"Apabila dapati api mula membakar bahagian bawah tanah, kita perlu berhati-hati untuk mengelakkan anggota terperangkap dalam kepungan kebakaran," katanya.

Tambahnya, seperkara lagi adalah berkenaan kesan kesihatan jangka panjang yang disebabkan oleh faktor cuaca, ancaman bahang panas dan asap tebal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!