Hari Keluarga Pulau Pinang 2021 bermula hari ini
GEORGETOWN - Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai Hari Keluarga Peringkat Pulau Pinang 2021 Edisi Ketiga yang bermula hari ini sehingga 28 Ogos 2021.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bertemakan Keluarga Bahagia, Masa Depan Cerah, penganjuran aktiviti secara maya dan 'indoor' yang bersesuaian telah dipilih bagi membolehkan semua ahli keluarga menyertainya di mana-mana sahaja tanpa had masa.
Menurutnya, walaupun tidak dapat dianjurkan secara besar-besaran, ia tidak menghalang Pulau Pinang mempromosikan nilai kekeluargaan demi masyarakat sejahtera, aman dan progresif selain menjadi penyumbang utama dalam pembangunan negeri serta negara.
"Saya mengalu-alukan semua untuk menyertai Hari Keluarga Pulau Pinang 2021 sama ada secara fizikal atau dalam talian. Ini adalah kali kedua ia diadakan dalam talian.
"Penganjuran tahun ini adalah yang ketiga dan saya bersyukur walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19, ia tidak menjadi penghalang untuk kita meraikannya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Kon Yeow merasmikan Hari Keluarga Pulau Pinang 2021 Edisi Ketiga dalam talian di Komtar, di sini.
Beliau berkata, semua aktiviti boleh disertai melalui platform Facebook rasmi penganjur bersama, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).
"Sempena Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, kerajaan negeri amat komited dalam memastikan institusi keluarga yang merupakan unit terkecil dalam asas pembentukan masyarakat berfungsi sepenuhnya sebagai intipati dan teras utama untuk kejayaan bersama.
"Walaupun sambutan Hari Keluarga dalam landskap normal baharu ini memberikan sedikit kelainan, namun mesej dan elemen penting masih tetap sama dan relevan untuk dipraktikkan dalam tempoh lockdown ini.
"Ibu bapa boleh mengambil peluang ini untuk mengeratkan serta mengoptimumkan hubungan kekeluargaan dengan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di rumah.
"Setiap keluarga boleh merancang dan membuat senarai aktiviti yang mahu dilakukan setiap hari, mengikut keutamaan dan kesesuaian masing-masing," katanya.
Sementara itu, Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata, antara aktiviti yang disediakan adalah latihan maya, permainan papan kreatif, karya seni dan forum dalam talian mengenai ikatan kekeluargaan.
"Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga akan membantu keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melalui projek perniagaan dari rumah sebagai sokongan bagi yang hilang pendapatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!