Lelaki maut dalam kemalangan babitkan tiga kenderaan di Mersing
MERSING - Seorang lelaki maut manakala isterinya mengalami sakit dada selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer Satu, Jalan Mersing-Endau berhampiran pekan Endau di sini pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia, Ali K. Moideen Kutty, 59 dan isterinya, A’mariah Harun, 5, menaiki kenderaan pacuan empat roda dari arah rumahnya di Endau menghala ke kebun di Penyabong.
"Kemalangan dipercayai berpunca daripada sebuah lori Mitsubitshi Fuso yang dipandu lelaki berusia 32 tahun bersama seorang kelindan lelaki berumur 39 tahun dari arah Batu Pahat menuju ke Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.
"Semasa di tempat kejadian, di suatu jalan selekoh, lori terbabit dipercayai hilang kawalan lalu melanggar batu tengah pembahagi jalan dan memasuki ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah Ford Ranger yang dinaiki pasangan suami isteri itu dan melanggar sebuah lagi kereta di bahu jalan berhampiran gerai makan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, pemandu Ford Ranger tersepit di tempat duduk dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah manakala isterinya sakit di bahagian dada, namun pemandu dan kelindan lori hanya mengalami sakit ringan.
Katanya, pemandu yang maut dirujuk ke Hospital Mersing untuk bedah siasat setelah keputusan ujian calitan Covid-19 diperolehi, manakala isterinya dihantar ke Klinik Kesihatan Endau untuk mendapatkan rawatan dan pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.
Kes itu disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kematian.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 7.55 pagi sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya pasukan di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori dipercayai membawa muatan baja bertembung dengan sebuah Ford Ranger sebelum melanggar sebuah kenderaan jenis Hyundai Accent yang tiada penumpang.
"Operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas 'Road Traffic Accident' (RTA) mengambil masa 18 minit," katanya sambil menambah, operasi menyelamat ditamatkan pada jam 10.05 pagi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!