UMNO tidak pernah kekurangan pemimpin berkebolehan: Asyraf Wajdi
SHAH ALAM – UMNO tidak pernah kekurangan pemimpin berkebolehan dan tidak mempunyai masalah menamakan sesiapa sahaja yang boleh menggantikan kepimpinan sedia ada termasuk dalam kalangan orang muda.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak pernah berlaku defisit atau kekurangan dari segi kepimpinan dalam parti tersebut.
“Mesti ada orang yang boleh menggantikan.
“UMNO mempunyai ramai tokoh-tokoh pemimpin yang sebenarnya mempunyai kelayakan dari segi pengalaman dan ketrampilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Siapa Hero Rakyat’ pada Sabtu.
Wacana tersebut turut menampilkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dan Penganalisis Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Ismail sebelum itu bertanyakan samada UMNO perlukan muka baharu atau memiliki figura yang boleh diangkat dan dinaikkan dalam kepimpinan utama.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, adalah tidak wajar jika UMNO menyingkirkan pemimpin-pemimpin lama.
“Saya rasa itu tidak wajar. Dalam konteks kepimpinan mesti ada gabungan antara yang lama dan baru,” katanya.
Beliau pada masa sama turut berpendapat UMNO bukannya bersifat ‘one men show’.
“UMNO sebagai sebuah parti matang dalam konteks organisasinya. Sesiapapun yang naik sebagai pemimpin, pendekatan dan organisasinya bersifat kolektif,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!