Sinar Karangkraf lancar portal baharu Sinar Premium
SHAH ALAM - Sinar Karangkraf Sdn Bhd melancarkan satu lagi produk baharu iaitu portal Sinar Premium secara rasmi hari ini.
Dengan tagline Eksklusif dan Kritis, portal baharu tersebut bakal menyampaikan laporan berita dan artikel yang lebih mendalam, berkualiti serta kritikal kepada rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Pengarang Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Pengisian Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman, portal Sinar Premium menampilkan kandungan berbeza berbanding Sinar Harian Online.
Katanya, Sinar Harian Online akan kekal menjadi portal berita utama yang menyampaikan perkembangan terkini dan langsung di Malaysia.
"Bagaimanapun, Sinar Premium akan menghidangkan laporan yang akan mengajak pembaca berfikir daripada perspektif berbeza.
"Di Malaysia, telah banyak portal berita biasa, jadi sudah tiba masanya kami di Sinar Karangkraf membawakan sesuatu yang baharu kepada pembaca negara ini," katanya selepas pelancaran portal tersebut pada Sabtu.
Katanya, pembaca yang ingin melayari portal Sinar Premium hanya perlu membuat pendaftaran secara percuma di https://premium.sinarharian.com.my.
"Hanya daftar menggunakan emel atau Facebook untuk anda melayari semua isi kandungan Sinar Premium," katanya.
Tambah Rozaid, beliau berharap rakyat Malaysia yang dambakan bahan bacaan ilmiah, kritis dan lebih bermaklumat dapat memberi sokongan kepada produk baharu Sinar Karangkraf.
"Sinar Karangkraf sentiasa mendahului masa dan zaman, sebab itulah ketika portal lain mungkin lebih berminat meninggikan trafik dengan bacaan sensasi dan viral semata-mata, kami tampil dengan idea berbeza dalam memperkasakan suara rakyat.
"Kami berharap pembaca dapat memberi sokongan kepada Sinar Premium dalam menghargai bahan bacaan berkualiti dan kritis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!