Kes Covid-19 di GKV dijangka turun pertengahan Ogos

Vaksinasi Covid-19 harian mencatatkan lebih 500,000 dos sejak beberapa hari lepas.
Vaksinasi Covid-19 harian mencatatkan lebih 500,000 dos sejak beberapa hari lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes-kes Covid-19 harian mungkin akan menunjukkan trend menurun pada pertengahan bulan Ogos apabila kadar vaksinasi di Greater Klang Valley (GKV) meningkat.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, jangkaan itu berdasarkan kepada langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi membendung pandemik berkenaan, di samping mengambil kira peningkatan program vaksinasi nasional yang merupakan kunci kejayaan negara menentang wabak itu.

"Kadar vaksinasi berjalan dengan sangat baik, tetapi perjalanan kita masih jauh. Apabila kita membuat ramalan dengan dua faktor ini, mungkin ada penurunan pada pertengahan bulan Ogos, tetapi keadaan mungkin akan menjadi bertambah buruk sebelum pertengahan bulan Ogos.

"Namun, bukti terbaru mengenai tahap penularan varian Delta masih boleh melambatkan trend menurun, tetapi apabila lebih banyak orang divaksin, kita harap kadar kemasukan ke hospital dan kematian akan berkurangan.

"Kita hanya perlu bertahan, melakukan apa yang termampu bagi membantu keluarga kita serta satu sama lain, selain membantu barisan hadapan, dan cara terbaik adalah kita dapatkan vaksin, di samping terus mematuhi langkah-langkah kesihatan awam dan prosedur operasi standard (SOP)," katanya kepada Bernama dalam temu ramah maya.

Vaksinasi Covid-19 harian mencatatkan lebih 500,000 dos sejak beberapa hari lepas, dengan 556,404 dos diberikan pada 29 Julai, jumlah tertinggi sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lepas.

Dr Chong yang juga Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) menyifatkan keadaan pandemik ketika ini sangat membimbangkan kerana ia mempengaruhi sistem penjagaan kesihatan, terutama di Greater Klang Valley, yang dianggar meliputi sehingga 70 peratus kes Covid-19 dalam negara.

GKV STF telah menggerakkan beberapa langkah strategik bagi mengoptimumkan perkhidmatan penjagaan, mengurangkan penularan virus, dan menyokong komuniti serta pekerja penjagaan kesihatan, sejak ditubuhkan pada 12 Julai lepas.

Artikel Berkaitan:

Beberapa langkah utama termasuk meningkatkan jumlah katil pesakit, penjagaan Unit Rawatan Rapi (ICU), bekalan oksigen, pergerakan tenaga kerja, di samping mendapatkan sokongan penuh daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Hospital Tentera Tuanku Mizan menyediakan lebih 150 katil bagi tujuan ini, juga hospital medan, di samping petugas tentera, bagi membantu kita melawan pandemik. Tenaga kerja adalah penting, kita perlukan ramai tenaga kerja, sektor kesihatan mahupun bukan kesihatan, dan kita harap rakyat Malaysia akan tampil membantu.

“GKV STF memiliki anggota dari pelbagai aspek, termasuk kita ada penasihat khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, dan lain-lain pakar kesihatan awam luar. Kita juga bekerjasama rapat dengan masyarakat awam serta pertubuhan swasta yang membantu dengan pelbagai sumbangan bantuan serta sukarelawan selaras dengan peningkatan jumlah katil pesakit dan perkhidmatan pusat panggilan.

“Contohnya, Internet Telco membangunkan Pusat panggilan Voice over Internet Protocol (VOIP) bagi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) maya, secara pro bono. Ini sememangnya pendekatan menyeluruh negara bagi menangani pandemik,” tambahnya.

Menurut Dr Chong, lain-lain inisiatif adalah seperti mengukuhkan CAC dengan menawarkan nasihat penilaian pengurusan pemantauan di rumah secara maya bagi pesakit tidak bergejala atau bergejala ringan, yang akan mengurangkan kesesakan dan risiko di CAC.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga jelas beliau, menawarkan lebih banyak ujian RTK-Ag kepada klinik-klinik kesihatan dan pengamal perubatan umum menerusi penjualan kit ujian yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peralatan Perubatan, bagi membolehkan ujian dapat dijalankan dengan meluas, manakala kit ujian air liur untuk ujian kendiri yang juga boleh diperoleh di farmasi untuk dibeli orang ramai.

Beliau berharap dengan lebih banyak kit ujian kendiri berada dalam pasaran, harganya akan menjadi mampu dibeli oleh orang ramai, sekali gus mengurangkan jumlah mereka yang berada di pusat perkhidmatan ujian Covid-19.

“Namun bagi mereka yang tidak mampu, kita nasihatkan mereka supaya datang ke pusat perkhidmatan kami untuk jalani ujian,” katanya.

KKM jelasnya, menyediakan bimbingan dan nasihat kepada kerajaan serta Majlis Keselamatan Negara dengan kerap, berasaskan kepada sains, bukti dan amalan di negara lain, berhubung pengurusan Covid-19.

“Keputusan yang dibuat sebenarnya amat sukar dan rumit kerana ia melibatkan dua aspek - penyakit, dan pada masa yang sama kehidupan rakyat. Sekiranya kita bertegas dalam satu aspek, kehidupan akan terjejas dan jika kita bertegas dalam satu aspek lain, angka jangkitan akan terus melonjak.

“Jadi untuk membuat pertimbangan dalam perkara ini memang amat mencabar, dan inilah apa yang kerajaan usahakan dalam membuat keputusan,” tambahnya. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!