Sastera Indonesia mutakhir
SASTERA Indonesia mutakhir bermula dengan dekad 2000-an, yang ditandai dengan suatu perubahan yang belum terjadi sebelumnya, iaitu kelahiran pengarang wanita yang cukup berkuasa dan dominan sekali.
Fenomena luar biasa dengan konotasi “sastrawangi” itu, membawa subjek feminisme dan beraroma seksual, dengan teknik naratif mempesonakan, dibantu oleh stail yang lincah, memberikan kesegaran dan estetik baru.
Dipelopori oleh Ayu Utami, Saman (1998), dengan cerita tentang persahabatan antara perempuan yang menggoda dari perspektif amalan yang menentang tradisi dan budaya timur. Kekuatannya pada tindakan nekad dan keras watak protagonisnya, untuk mengatasi masalah kemanusiaan dan keadilan, memperlihatkan sifat feministik yang kuat.
Novel lainnya ialah Larung juga karya Ayu Utami (2001), Dadaisme oleh Dewi Sartika (2004), Nayla oleh Djenar Maesa Ayu (2005) dan kemudiannya disusuli oleh ratusan novel dan cerpen.
Sifat keberanian dengan kelantangan memperjuangkan hak wanita, di samping tidak menyenangi kedudukan yang terkebelakang di tengah negara partriarki, sangat disambut oleh khalayak sastera. N.H.Dini novelis terpenting Indonesia telah dilanggar, dan angkatan baharu itu berjaya membentuk aliran penulisan baharu, tidak setakat mencari sensasi tetapi juga posisi.
Bagaimanapun, golongan moralis tidak menyenangi kehadiran mereka. Gejala feminisme itu mengalami kontroversial. Namun, dalam kalangan belia sangat menyenanginya, justeru mereka berpendidikan tinggi, cantik dan seksi pula, budaya hidupnya bergaya, berhasil merasuk khalayak.
Istimewanya, mereka pintar dalam menguasai teknologi informasi seperti internet dan telefon bimbit, yang mengemukakan watak-watak yang mengikuti perkembangan global. Mereka merefleksikan kondisi sosialnya, dan idealismenya sesuai dengan zamannya.
Yang menariknya sasterawati Indonesia itu bersatu dalam ideologi perjuangan, sama-sama membentuk sifat kepengarangan, berhasil memberi wajah keanggunan sastera Indonesia, justeru itu mereka menjadi ikon-ikon baru.
Korrie Layun Rampan, seorang pengkaji, telah melegitimasikan lahirnya pengarang Angkatan 2000 itu.
Dalam sejarah sastera Indonesia, angkatan sastera dimulai oleh Angkatan Balai Pustaka (1920-1950) dengan Sutan Takdir Alisjahbana, Amir Hamzah, dan Armijn Pane; Angkatan 45 dengan Chairil Anwar, Asrul Sani dan Pramoedya Ananta Toer; Angkatan 66, Motinggo Busye, Goenawan Mohamad dan Sapardi Djoko Damono, dan diikuti oleh Angkatan 1980 dengan Marga T., Yudistira Ardinugraha dan Noorca Mahendra.
Sebagai reaksi banjirnya sastera seksual itu, muncul pula fenomena karya sastera Islam, yang dipelopori oleh Ayat-Ayat Cinta (2004) karya Habiburrahman El-Shirazy, yang sangat memukau khalayak sehingga dicetak mencapai 500,000 naskhah.
Ceritanya di sekitar cinta belia, yang diramu dengan bagaimana menghadapi segala ujian dan dugaan dalam hidup, yang berpaksi pada akidah, syariah dan tasawuf Islam.
Habiburrahman El-Shirazy pernah berkunjung ke rumah saya, dan beliau menyatakan “masyarakat belia Indonesia dahagakan kisah percintaan yang murni dan asli menurut ajaran Islam”, sambil menyatakan karya-karya itu sebagai sinambungan persuratan Islam Hamzah Fansuri dan Amir Hamzah.
Karya Habiburrahman El-Shirazy lainnya ialah Di Atas Sajadah Cinta (2004), Ketika Cinta Berbuah Syurga (2005), Ketika Cinta Bertasbih 1 dan 2 (2007), Dalam Mihrab Cinta (2007), Bumi Cinta (2010), dan Cinta Suci Zahrana (2010). Kesemuanya mendapat sambutan luar biasa.
Terdapat sebarisan karya Islami, antaranya Persembahan Cinta Sari Syurga oleh Nurrahman Effendi, Menggapai Sang Cinta karya In’am Ibnu Shalih dan Jejak Cinta Sang Kiai ciptaan Imam Sibawaih El-Hasani.
Mereka berdakwah dengan mengelakkan diri daripada sifat dogmatik dan stimatik. Sesuatu yang menarik, golongan penulis sastera Islam ini, bekerjasama dalam urusan penerbitan dan pengedaran karya.
Sebuah lagi kecenderungan Angkatan 2000 adalah dengan kemunculan novel Laskar Pelangi (2006) ciptaan Andrea Hirata. Ia berjaya menggugah sastera Indonesia dengan kisah anak-anak sekolah dasar Muhammadiyah yang dalam keterbatasan ekonomi, menghadapi pelbagai rintangan dalam menuntut ilmu.
Dengan mengaplikasi gaya realistik, naratifnya cukup halus, detail dan estetik mencitrakan masyarakat Belitong, Indonesia. Sebanyak 700,000 naskhah telah terjual. Andrea Hirata berjaya mengubat penyakit-penyakit masyarakatnya, dan terus berkarya, antaranya Sang Pemimpi (2006), Sebelas Patriot (2011) dan Guru Aini (2020).
Subjektiviti Andrea Hirata mengembalikan latar tradisi Indonesia yang benar-benar berbudaya Indonesia.
Persoalannya dipungut daripada permasalahan harian, dan memparodi kemiskinan masyarakat Indonesia. Strategi teksnya mengingatkan gaya penulisan Pramoedya Ananta Toer, Wisran Hadi dan Putu Wijaya.
Ayu Utami pencetus gerakan feminisme radikal sewaktu berusia 30 tahun, Habiburrahman El-Shirazy mempelopori karya Islam berusia 28 tahun, dan Andrea Hirata dengan mengembalikan warna lokaliti Indonesia berusia 39 tahun.
Berpendidikan tinggi, menguasai teori dan mempelajari resepsi khalayaknya, ketiga-tiganya menunjukkan cukup dewasa dan faham peranannya, sebagai pengarang dari sudut struktural dan sosiologikal.Pengkritik Indonesia menyambut kehadiran mereka. Korrie Layun Rampan, Semua Etalase dan Jamal T. Suryanata menerimanya sebagai kejayaan ajaib, dan memetakannya dalam sejarah perkembangan sastera Indonesia.
Gerakan feminisme itu telah memberi mohor kuasa wanita Indonesia. Dominasi lelaki dan subordinasi wanita telah dirobohkan, impaknya besar kepada sifat liveralisme feminitinya.
Pembaharuan sastera Islam menyedarkan masyarakat yang terlena dibuai keampuhan duniawi. Lokaliti Indonesia pula menunjukkan sastera yang relevan itu jejak pada bumi asalnya.
Indonesia selalu bergantung kepada kekuatan puisi dan dramanya. Tetapi, dalam zaman Angkatan 2000, ketiga-tiga jalur pengkaryaan novel itu, terus berkuasa sampai ke zaman kontemporari, dan menenggelamkan barisan pemuisi Ann Masnyur, Joko Pinurbo, Adimas Imnnuel dan lain-lainnya; juga dramawan Agus Jolly, Shinta Febriani dan penggerak drater pascamoden Indonesia.
Novel Saman, Ayat-Ayat Cinta dan Laskar Pelangi adalah kanon sastera Indonesia mutakhir. Karya Angkatan 2000 itu sampai ke negara kita, malah menguasai sebahagian besar khalayak sastera.
Saifullizan Yahaya (2017) pengkaji berbobot Malaysia berpandangan, sastera Indonesia senantiasa dianggap “abang besar” dan riak gelombangnya menjadi ikutan.
Kejayaan sasterawan Angkatan 2000 itu adalah sebuah iktibar, terutamanya kepada penulis muda. Sesungguhnya, ilmu, teori dan kreativiti itu sebagai katalis kejayaan.
*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!