Penat tunggu tawaran kerja, bekas pelajar UMT bercucuk tanam
KOTA BHARU – Penat menunggu panggilan kerja mendorong seorang graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Bahagian Pengurusan Maritim di sini memberanikan diri beralih ke bidang pertanian selepas melihat kejayaan yang diraih rakan sekampung.
Mohamad Zulfazli Mohamad Arifin, 28, mula bercucuk tanam sejak empat tahun lalu selepas mengambil keputusan berhenti kerja di Singapura.
Katanya, selepas kembali ke tanah air beliau menghantar permohonan bekerja di beberapa sektor selain turut menghadiri beberapa temuduga, namun masih gagal mendapatkan pekerjaan.
Dia lalu pulang ke kampung dengan jiwa yang kosong, namun segalanya berubah selepas melihat salah seorang rakan sekolahnya menceburi bidang pertanian dan mendapat pulangan lumayan.
“Daripada berminat melihatnya menanam timun, saya mula berbincang perkara yang perlu dilakukan untuk memulakan pertanian ini.
“Walaupun berdepan panas terik tetapi pulangan yang diperoleh juga lumayan malah bertani merupakan satu ibadah.
"Saya beranikan diri mencuba nasib dengan bermodalkan RM15,000 dan tanam 1,000 polibeg timun batang ketika itu,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Kubang Palas, Banggu, pada Sabtu.
Menurut Mohamad Zulfazli, dia terkejut kerana pulangan yang diperoleh amat memberangsangkan sehingga belasan ribu ringgit untuk satu musim dan disebabkan kesungguhan yang dilakukan, kini dia memiliki lima ladang yang disewa seluas dua hektar.
Katanya, dia juga menanam peria, petola dan lada mengikut musim dengan bantuan 10 pekerja termasuk seorang adiknya.
“Alhamdulillah tanaman saya dapat dipasarkan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan dan Pasar Selayang di Kuala Lumpur. Cuma kini kita berdepan lambakan kerana kebanyakan sayur tidak dapat dijual akibat Covid-19.
“Dengan lambakan yang berlaku itu, isteri saya, Aina Fatini Marizan membuat inovasi menjadikan peria sebagai kerepek dengan pelbagai perasa. Alhamdulillah dia dapat jual melalui dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Dapatlah duit poket daripada berlaku pembaziran.
“Kami juga mempelajari teknik terbaik untuk jadikan jeruk timun sebagaimana yang kita beli di pasar raya sebelum ini. Pelbagai perkara diteliti bermula dari pemilihan timun.
“Insya-ALLAH jeruk timun akan menjadi inovasi terbaru kami nanti. Apa yang penting, ia tidak menjadi lambakan. Pasaran peringkat negeri luar pun tidak banyak membantu sekarang memandangkan kos yang terpaksa ditanggung juga tinggi. Oleh sebab itu kami kena fikir inisiatif lain,” katanya.
Mohamad Zulfazli berkata, dia juga mendapat tunjuk ajar daripada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dalam setiap gerak kerja terutama melibatkan pengurusan ladang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!