Vaksin tanpa janji temu mampu percepatkan PPN

Pemberian vaksin menggunakan walk in kepada orang dewasa di Lembah Klang dapat mempercepatkan PPN. -Foto Bernama
Pemberian vaksin menggunakan walk in kepada orang dewasa di Lembah Klang dapat mempercepatkan PPN. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Pemberian vaksin tanpa janji temu (walk-in) kepada orang dewasa di Lembah Klang akan mempercepatkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pada ketika ini kadar vaksinasi di Lembah Klang masih rendah.

“Dengan adanya kaedah walk-in ini, ia boleh mempercepatkan PPN terutamanya di kawasan Lembah Klang dan menyaksikan pemulihan segera kerana Selangor dan Kuala Lumpur menyumbang kes tertinggi di negara ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa pemberian vaksin menggunakan pendekatan walk-in di Lembah Klang akan berkuat kuasa 2 Ogos ini.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan peralihan fasa sekiranya negeri berkenaan memenuhi indikator nilai ambang berdasarkan purata kes harian Covid-19, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar vaksinasi.

Mengulas lanjut, Dr Zainal Arifin berkata, inisiatif yang diumumkan oleh Khairy itu adalah baik bagi meningkatkan kadar imunisasi dan memudahkan orang ramai.

Bagaimanapun, perlu ada satu sistem bagi mengelakkan kesesakan akibat orang ramai berpusu-pusu ke PPV.

“Misalnya, kalau semua orang walk-in, yang telah mendapat janji temu akan terganggu dan ini akan berlaku di semua tempat.

Artikel Berkaitan:

“Akan menjadi masalah. Kalau boleh adakan satu sistem yang boleh memberitahu lokasi, masa dan lorong tertentu untuk mendapatkan vaksin.

“Utamakan juga kepada mereka yang telah ada janji temu, warga emas dan orang muda sedikit,” katanya.

Menurut Dr Zainal Arifin, dengan adanya sistem, orang ramai tidak akan bersesak-sesak bagi mendapatkan vaksinasi secara walk-in.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!