MAIK peruntuk RM16.5 juta bantu golongan terjejas Covid-19

Tengku Mohamad Rizam
Tengku Mohamad Rizam
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus 'ligat' membantu golongan yang terjejas dengan pandemik Covid-19 melalui peruntukan berjumlah RM15.6 juta menerusi Program Bantuan MAIK 2021.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ia diagihkan menerusi tiga pakej iaitu Bantuan Prihatin MAIK, Perangsang MAIK dan Projek Pemangkin Kontraktor Kecil.

"Bantuan Prihatin MAIK memperuntuk sejumlah RM 6.1 juta, dengan mensasarkan penerima dalam kalangan ibu tunggal, pesakit kronik atau terlantar dan mereka yang hilang pekerjaan serta sumber pendapatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, menerusi bantuan itu kira-kira 30,500 orang penerima melibatkan orang Islam serta bukan Islam termasuk kategori B40 dan M40 yang terkesan akibat Covid-19 akan mendapat manfaat tersebut.

Beliau berkata, bantuan dalam bentuk barangan keperluan dan wang tunai itu akan diuruskan melalui Ketua Jajahan dengan kerjasama imam-imam masjid bandar serta mukim.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, Bantuan Perangsang MAIK membabitkan peruntukan berjumlah RM5.5 juta yang difokuskan kepada penggiat ekonomi.

Katanya, penggiat ekonomi itu merangkumi penjaja (pasar awam, pasar borong dan pasar malam), peniaga kecil (warung dan gerai tepi jalan), pengusaha teksi, beca, e-hailing, bas dan van sekolah.

"Selain itu, golongan petani, peladang kecil serta nelayan akan turut menerima bantuan ini. Bagi Projek Pemangkin Kontraktor Kecil kita peruntukan bantuan berjumlah RM3 juta.

Artikel Berkaitan:

"Bantuan ini kita fokuskan bagi membantu kontraktor Kelas G-1 yang berdaftar dengan MAIK. Peruntukan ini diperincikan melalui projek kerja-kerja membaiki, membaik pulih rumah asnaf MAIK berjumlah RM1 juta yang akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 100 buah rumah asnaf," katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata, sementara kerja-kerja pembaikian kecil dan pembekalan keperluan asas surau serta madrasah yang bernilai RM2 juta itu dijangka memberi impak kepada 150 orang kontraktor.

Bantuan serampang dua mata ini juga kata beliau, bermatlamat untuk memastikan rumah-rumah asnaf, surau dan madrasah berada dalam keadaan selesa dan selamat untuk digunakan, disamping membantu kontraktor-kontraktor kecil 'bernafas' setelah melalui suram yang panjang.

Katanya, MAIK merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan Malaysia, agensi-agensi awam dan swasta serta individu yang saban tahun terus memberikan kepercayaan kepada pihaknya sama ada secara langsung atau tidak langsung, bagi menguruskan program-program bantuan di Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!