Nedved yakin bawa Locatelli ke Juventus
NAIB Presiden Juventus, Pavel Nedved mengesahkan pihaknya hampir mendapatkan pemain kebangsaan Itali, Manuel Locatelli dari Sassuolo, bagi mengharungi saingan musim baharu Serie A.
Menurut Nedved, dia yakin tawaran yang dibuat bagi mendapatkan membawa pemain berusia 23 tahun itu adalah munasabah dan akan diterima Sassuolo.
“Kami telah bercakap kepada pihak Sassuolo dan menyatakan tawaran kami yang kami percaya bersesuaian dengan keadaan semasa terutamanya pada ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 ketika ini.
“Kami juga yakin tawaran yang kami buat adalah tawaran yang baik dan tepat bagi membawa Locatelli ke Turin.
“Lagi pun, kami dapat merasakan dia (Locatelli), sememangnya mahu menyertai Juventus. Bila perkara seperti ini berlaku, ia pastinya satu perkhabaran yang baik,” katanya.
Difahamkan, Locatelli telah menjadi buruan hangat Juventus sejak dia mempamerkan aksi cemerlang membantu Itali muncul juara Euro 2020.
Bagaimanapun, hasrat berkenaan berdepan cabaran apabila kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dilaporkan turut berminat membawa pemain tengah berkenaan ke Emirates.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sassuolo, Giovanni Carnevalli menegaskan, Locatelli dilihat lebih berminat untuk menyertai Juventus berbanding Arsenal.
“Jelas, dia mahu menyertai Juventus. Kami juga gembira untuk melepaskannya, tetapi mereka perlu membayar dengan harga yang tepat bagi mendapatkan Locatelli.
“Dalam masa sama, Arsenal dan juga satu lagi kelab EPL turut mahu mendapatkan pemain berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!