Gadis cari keluarga bapa jadi wali
HULU TERENGGANU – Seorang pembantu kedai berharap orang ramai dapat membantu beliau mencari keluarga arwah bapanya untuk menjadi wali pernikahan yang dijadualkan berlangsung pada 8 Ogos ini.
Puteri Nur Nilam Sari Basri, 20, dari Ajil, memberitahu, bapanya, Basri Abas yang berasal dari Batu Pahat, Johor meninggal dunia pada 2019 dan dia tidak mengenali keluarga kandung Allahyarham.
“Kami difahamkan, arwah ayah dijaga oleh keluarga angkat sejak kecil. Jadi, kami tidak tahu siapa keluarga sebenar ayah kerana mereka sudah terputus hubungan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Puteri Nur Nilam Sari, ibunya, Hasiati Yaakob, 49, telah bercerai dengan Basri ketika dia berusia 12 tahun dan mereka sekeluarga mengetahui bapanya meninggal dunia di Johor selepas dimaklumkan oleh polis.
Sehubungan itu, beliau berharap mana-mana pihak yang tahu atau mengenali keluarga kandung arwah bapanya supaya menghubunginya di talian 011-3791 4137.
“Saya empat beradik semua perempuan, jadi besar harapan kami jika dapat menjejaki datuk dan adik-beradik kandung arwah ayah untuk menjadi wali supaya urusan perkahwinan ini berjalan lancar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!