Najib persoal tindakan kerajaan tangguh sidang Parlimen
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tindakan kerajaan menangguhkan sidang Parlimen ke satu tarikh yang belum diumumkan akibat kes positif Covid-19 yang dikesan di kawasan tersebut.
Menurut beliau, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam hanya ditutup sehari dan dibuka semula pada 14 Julai selepas 204 petugas di sahkan positif Covid-19.
"Amat sukar bagi sesiapa percaya bahawa PPV yang melibatkan puluhan ribu orang awam dibenarkan beroperasi semula hanya dua hari selepas 204 petugas dikesan positif tetapi Parlimen pula perlu ditutup bagi tempoh yang tidak lagi diketahui.
"Mengikut contoh PPV Shah Alam, Parlimen sepatutnya sudah selamat dibuka bermula Sabtu. Jadi, kenapa sesi pada hari Isnin dibatalkan juga?
"Adakah kerajaan percaya bahawa nyawa 220 ahli Parlimen lebih mahal berbanding ribuan orang awam yang lawat ke PPV Shah Alam tiap-tiap hari?" soalnya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi satu notis kepada semua Ahli-ahli Dewan Rakyat memaklumkan, Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 2 Ogos ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Jelas Nizam, permakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Dalam hantaran yang sama, Ahli Parlimen Pekan itu turut mempersoalkan tindakan beberapa ahli Parlimen dan menteri yang dibenarkan meninggalkan dewan tanpa disaring pada tengah hari Khamis untuk berkunjung ke rumah Muhyiddin sekiranya situasi di Parlimen amat bahaya.
"Andainya benar bahawa perdana menteri ada sokongan cukup dan jitu 110 ataupun 115 ahli Parlimen maka kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya membenarkan Ordinan Darurat dibahas dan diundi dalam dewan.
"Bukan tiba-tiba menipu dalam dewan bahawa ia sudah 'back-date' batal yang akhirnya membawa kepada kemurkaan Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Jelas Najib, sekiranya benar Muhyiddin mempunyai sokongan cukup dan jitu, beliau tidak akan hilang diri sejak memberi sesi penerangannya pada Isnin.
"Dia datang pada pagi Isnin untuk beri penjelasan tapi apabila tiba masa untuk dia disoal, dia sudah lari diri.
"Tak pernah muncul kembali di Parlimen sejak itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!