Penggiat industri fotografi, videografi Sabah rayu dibenar beroperasi
KOTA KINABALU - Penggiat industri fotografi, videografi dan solekan di negeri ini merayu kepada kerajaan supaya diberi kelonggaran untuk beroperasi dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Terdapat kira-kira 1,000 penggiat industri ini sama ada yang terlibat secara komersial atau secara bebas (freelance) terjejas sejak tiga bulan lalu selepas perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh kerajaan.
Menurut wakil industri itu, Mohd Danial Ramadhan Abdullah, mereka kini semakin hilang punca pendapatan dan bakal 'gulung tikar' jika masih tidak dibenarkan beroperasi.
"Saya wakil rakan-rakan yang terlibat dalam industri ini termasuk yang mempunyai studio ingin menyampaikan suara keluhan mereka yang terjejas dari segi pendapatan dan hilang punca pendapatan selama hampir tiga bulan ini.
"Keadaan ini turut menjejaskan dari segi pembayaran sewa premis yang dijadikan studio serta gaji pekerja. Jika perkara ini berlarutan, ia akan menyebabkan penggiat industri ini bakal 'bungkus'," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.
Bagi mengelak perkara itu berlaku, Mohd Danial berharap kerajaan terutama di Sabah mendengar suara mereka yang terlibat dalam industri ini.
"Kami minta supaya diberi sedikit kelonggaran untuk aktiviti fotografi, videografi atau 'make up' mengadakan sesi penggambaran di luar dengan SOP yang ketat contohnya maksimum empat orang untuk satu sesi iaitu melibatkan pasangan, juruvideo dan jurukamera dalam satu masa yang sudah pastinya ia tidak melibatkan perhimpunan yang ramai.
"Kami juga berharap supaya studio dibenarkan beroperasi kerana apabila premis beroperasi, mereka dapat menjana atau menampung semula kerugian yang telah dihadapi selama ini," katanya.
Seorang lagi wakil yang juga Pengarah Urusan Level Four Studio, Adam Ruhimin berkata, disebabkan pandemik Covid-19, pendapatannya dalam industri itu jatuh merudum sehingga 80 peratus.
"Saya terpaksa memberi cuti tanpa gaji kepada tujuh pekerja selain terpaksa menampung kos sewa studio dan utiliti lain yang mencecah lebih RM3,000 setiap bulan.
"Pendapatan jualan pada tahun ini berbanding 2019 sebelum pandemik, jatuh sehingga 80 peratus dan menyebabkan saya sudah hampir tidak mampu bertahan kerana tiada pendapatan," katanya.
Sementara itu, menurut seorang penggiat industri dari wakil komuniti Cina dikenali sebagai Hau turut berharap supaya kerajaan dapat mempertimbangkan supaya mereka dapat beroperasi semula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!