Pencapaian Nur Dhabitah patut dibanggakan
BIARPUN sekadar menduduki tempat keempat bagi aksi final acara terjun tiga meter papan anjal di Tokyo Aquatics Centre pada Ahad, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tetap menyifatkan pencapaian atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai pencapaian yang patut dibanggakan.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman facebook rasminya pada Ahad, Reezal Merican turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada atlet terjun berusia 22 tahun itu atas aksi bertenaga dan konsisten yang dipamerkannya.
“Terima kasih buat Dhabitah kerana telah mempamerkan aksi yang penuh bertenaga serta konsisten ketika beraksi di final 3m terjun papan anjal individu wanita sebentar tadi (Ahad).
“Bitah (Dhabitah), menamatkan saingan dengan berada di ranking keempat dengan catatan 326.15 mata dan ini merupakan kedudukan yang lebih baik berbanding di peringkat semi final (separuh akhir).
“Semestinya ini merupakan pencapaian yang patut dibanggakan apabila dapat beraksi antara 12 penerjun terbaik dunia di pentas Olimpik. The Best 4!
“Buat Bitah, jangan putus asa. Teruskan usaha. Saya yakin Bitah boleh beat mereka di kejohanan akan datang,” katanya pada kenyataan berkenaan.
Pada final acara 3m terjun papan anjal individu wanita itu, Dhabitah mengumpul 326.15 mata di belakang atlet terjun Amerika Syarikat (AS), Krysta Palmer yang mencatatkan 343.75 mata bagi meraih gangsa.
ARTIKEL BERKAITAN: Harapan pingat acara papan anjal wanita tidak kesampaian
Untuk rekod, catatan 326.15 yang dicatatkan Dhabitah pada aksi final berkenaan berjaya mengatasi catatan 312.60 mata pada aksi separuh akhir, pada Sabtu, sekali gus turut mengatasi 291.60 mata yang dicatatkan atlet berusia 22 tahun itu pada aksi kelayakan pada Jumaat.
Sementara itu, atlet terjun China, Shi Tingmao menepati ramalan untuk meraih emas bagi acara berkenaan setelah mencatatkan 383.50 mata, manakala rakan senegara, Wan Han meraih perak dengan catatan 348.75 mata.
Kedua-dua atlet berkenaan dilihat mempamerkan aksi konsisten pada kelima-lima terjunan bagi memastikan pingat emas dan perak bagi cara berkenaan menjadi milik China pada Olimpik kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!