Kerosakan layar jejas aksi hari keempat Nuraisyah, Juni

Nuraisyah dan Juni Karimah Noor. - Foto Majlis Sukan Negara (MSN)
Nuraisyah dan Juni Karimah Noor. - Foto Majlis Sukan Negara (MSN)
A
A
A

KEROSAKAN pada sistem layar 'spinnaker' iaitu layar ketiga bot telah menjejaskan aksi hari keempat, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali dalam acara International 470 Wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Ahad.

Jurulatih Kebangsaan, Muhammad Sahir A Rahim ketika dihubungi berkata, situasi yang melanda itu menyebabkan Nuraisyah dan Juni gagal menamatkan perlumbaan kelapan yang berlangsung di Enoshima Yacht Harbour.

“Selepas berakhir lapan perlumbaan, peluang untuk mereka memasuki kelompok 10 terbaik esok tampak tipis dan sukar,” katanya.

Sebelum itu, gandingan negara itu menamatkan saingan di tempat ke-20 pada perlumbaan ketujuh pada awal Ahad yang menyaksikan gandingan Hannah Mills-Eilidh McIntyre dari Great Britain mengungguli saingan berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sahir juga memaklumkan beberapa kesalahan taktikal menuju penanda pertama menyebabkan keputusan tidak memihak kepada mereka berdua lantas dipintas pelayar lain pada peringkat akhir perlumbaan ketujuh.

Beliau juga mahu melihat Nuraisyah-Juni membuat keputusan tepat selain menggunakan pengalaman yang ada pada perlumbaan seterusnya untuk menamatkan saingan di tempat lebih baik berbanding hari ini.

Selepas lapan perlumbaan, Nuraisyah-Juni kini menduduki tangga ke-20 daripada 21 pelayar secara keseluruhan dengan 130 mata bersih manakala Hannah-Eilidh mendahului carta dengan catatan 18 mata bersih.

Perlumbaan kesembilan dan ke-10 akan bersambung esok. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!