Vaksin Covid-19 berkesan terhadap varian Delta: Pakar China
BEIJING - Vaksin Covid-19 berupaya melawan varian Delta dengan memberi perlindungan mencukupi, menurut pakar China.
Penyelidik dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) China, Shao Yiming berkata, setakat ini, vaksin masih mampu mempertahankan keberkesanannya terhadap pelbagai varian baharu.
“Berdasarkan penyelidikan yang dibuat di peringkat global, fenomena dijangkiti semula selepas divaksin lazimnya dikenali sebagai kes bulus, suatu perkara yang biasa. Ia melibatkan jumlah yang amat kecil berbanding penerima vaksin yang melebihi tiga bilion dos di seluruh dunia.
“Vaksin Covid-19 pertama kali diguna pakai, jadi data mengenainya masih dikemas kini dengan penyelidikan dan ujian klinikal. Tiada vaksin seratus peratus kebal terhadap jangkitan virus,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan, program inokulasi dan langkah kawalan dan pencegahan yang dilaksanakan secara bersepadu antara cara paling berkesan untuk membendung penularan wabak.
Di China, penularan wabak Covid-19 membabitkan varian Delta berpunca daripada kluster di lapangan terbang Nanjing, telah merebak ke 14 wilayah dengan peningkatan mendadak kes jangkitan tempatan sebanyak 328. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!