Adib akui ditarik dan dipukul perusuh bersenjata
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Persoalan samada anggota bomba dan penyelamat Subang Jaya, Mohammad Adib Mohd Kassim, dipukul atau dilanggar oleh jentera bomba akhirnya terjawab di Mahkamah Koroner hari ini.
Muhammad Adib mengakui dia ditarik keluar daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) oleh perusuh dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman November lalu.
Pengakuan itu dibuat Muhammad Adib dalam jawapan bertulisnya terhadap 15 soalan yang dikemukakan Ketua Balai JPBM USJ, Syed Syahril Anuar Syed Sulaiman ketika allahyarham menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), pada 12 Disember.
Syed Syahril yang merupakan saksi ke 18 Inkues Kematian Muhammad Adib memberitahu Mahkamah Koroner bahawa setiap soalan diberikan pilihan jawapan.
"Memandangkan kesihatannya semakin baik dan Adib boleh menulis, saya bawakan dan membacakan kepadanya soalan tersebut.
"Arwah seorang yang kidal menandakan petak pilihan jawapan," katanya.
Berikut 15 soalan yang ditanyakan kepada Muhammad Adib oleh Syed Syahril Anuar.
Soalan 1: Adakah musuh cuba buka pintu kenderaan masa kenderaan berundur?
Adib: Angguk dan tanda ya.
Soalan 2: Adakah Adib cuba halang dan tahan pintu dari terbuka.
Adib: Ya.
Soalan 3: Adakah mereka berjaya membuka pintu EMRS?
Adib: Ya
Soalan 4: Apakah perasaan Adib ketika mereka cuba bukak pintu kenderaan. Ada beberapa pilihan jawapan iaitu takut, cemas, tertekan dan panik.
Adib: Tertekan.
Saya tanya semula adakah tertekan? Dia angguk.
Soalan 5: Adakah Adib ditarik keluar dari kenderaan EMRS?
Adib: Ya.
Soalan 6: Jika ditarik, adakah mereka tarik Adib bahagian mana?
Adib: Bahu sambil menunjukkan bahunya.
Bagaimanapun, Adib tidak menjawab soalan nombor 7,8 dan 9 kerana dia tidak tandakannya kerana tidak mengingati.
Soalan 7: Apakah Adib terjatuh selepas ditarik?
Adib: Bagi isyarat geleng kepala...saya katakan kepadanya tak ingat, dia buat isyarat 'thumbs up'.
Soalan 8: Adakah Adib terjatuh semasa ditarik?
Adib: Buat isyarat tidak ingat.
Soalan 9: Semasa Adib dipukul adakah sedar atau tak?
Adib: Geleng kepala tidak ingat.
Soalan 10: Adakah mereka memukul dengan peralatan.
Adib: Ya.
Soalan 11: Jika gunakan perlatan adakah Adib nampak?
Adib: Tidak nampak.
Soalan 12: Peralatan apakah yang digunakan semasa pukul? Kayu, batu, besi atau lain-lain peralatan?.
Adib: Tanda lain-lain peralatan.
Maksudnya perusuh memang menggunakan senjata tetapi arwah tidak mengingati senjata apa yang digunakan untuk memukulnya.
Soalan 13: Adakah Adib sedar di lokasi atau hospital?
Adib: Hospital.
Soalan: Adakah Adib terasa terancam ketika berada dalam situasi itu?
Adib: Ya.
Soalan 15: Adakah Adib cuba bertindak pertahan diri ketika itu?
Adib: Buat isyarat tak ingat.
Syed Shahril Anuar berkata, ketika menjawab soalan itu, beliau meluangkan masa kira-kira 20 ke 25 minit bersama Muhammad Adib.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Syazlin Mansor, Syed Shahril Anuar berkata, tujuan soalan itu disediakan adalah untuk menjawab spekulasi yang timbul.
"Saya mahu tahu sendiri daripada Adib perkara sebenarnya yang berlaku," katanya yang turut menyerahkan dokumen itu kepada pegawai penyiasat.
Pada 28 November lalu, Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa Muhammad Adib parah disebabkan kemalangan jalan raya.
Bagaimanapun perkara itu disangkal oleh JBPM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!