Polis sangkal dakwaan aktivis wanita dipaksa bogel ketika ditahan
KUALA LUMPUR - Polis menyangkal dakwaan seorang aktivitis wanita yang mendakwa dipaksa bogel dan dibuka pakaian dalam ketika ditahan pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komissioner Beh Eng Lai berkata, individu berumur 20 tahun berkenaan telah ditangkap oleh pihak polis bersabit akaun Twitter MISI: Solidariti yang dikendalikannya.
"Individu berkenaan telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam Lokap Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang pada 29 Julai lalu kira-kira jam 7 malam atas kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
"Proses penempatan individu berkenaan ke dalam lokap adalah menepati prosedur yang telah ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Lokap 1953 (L.N.328/1953) dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara A118," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, sebelum dimasukkan ke dalam sel lokap, setiap tahanan akan dibawa ke dalam bilik khas untuk diperiksa oleh petugas lokap.
"Bagi kes ini, ia melibatkan anggota lokap wanita, pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tiada sebarang kecederaan fizikal dan tiada barang salah dibawa masuk ke dalam lokap.
"Seterusnya individu berkenaan telah menukar pakaiannya kepada pakaian lokap berwarna ungu, proses menukar pakaian ini dilakukan di dalam bilik khas yang tidak boleh dilihat oleh orang lain," katanya.
Menurutnya, sepanjang penahanannya di dalam lokap, prosedur operasi standard (SOP) lokap dipatuhi sepenuhnya.
"Sel lokap individu berkenaan hanya ditempatkan petugas dan tahanan wanita sahaja, petugas atau tahanan lelaki adalah tidak dibenarkan lalu atau masuk ke kawasan tersebut.
"Individu berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat kira-kira jam 12.30 tengah malam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!