Antara kambing hitam, kucing sembilan nyawa
POLITIK negara sejak seminggu lalu kembali panas dan bergolak. Hanya selepas beberapa hari Parlimen dibuka, nampaknya wakil-wakil rakyat kembali berpencak silat.Walaupun pada awalnya masing-masing mengakui Parlimen adalah pentas terbaik untuk memulihkan negara daripada Covid-19 dan membantu rakyat yang makin terhimpit, nampak matlamat itu sudah agak menyimpang.
Semua tenaga, masa dan misi ahli Parlimen kini terfokus kepada satu perkataan iaitu kuasa. Di pihak kanan mahu mengekalkan kuasa dan di pihak kiri pula mendapatkan semula Putrajaya.
Dengan pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang semakin genting dari segi jumlah kerusi akibat drama tarik-tali blok UMNO, pembangkang pula tidak sabar mendesak undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, naratif PN pada hari pertama pembukaan Parlimen dalam mengelakkan sebarang pengundian nampaknya sudah tersilap langkah.
Sama ada terlanjur kata atau memang dicatur sebegitu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kerajaan telah menamatkan semua Ordinan Darurat mulai 21 Julai lalu.
Pengumuman itu mendapat reaksi Istana Negara, apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita apabila pembatalan Ordinan Darurat itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
Malah, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan rasa amat dukacita apabila Ordinan Darurat itu tidak dibentang dan dibahaskan di Parlimen untuk mendapat kelulusan.Selepas beberapa hari, 'krisis' antara Istana-Putrajaya nampaknya masih belum ada titik noktahnya.
Hampir pasti Muhyiddin atau sering dipanggil sebagai Abah tidak akan menggunakan pentas Parlimen pagi Isnin (2 Ogos) untuk menjernihkan suasana apabila sidang khas tersebut ditangguhkan kerana risiko Covid-19.
Ramai yang menggesa Putrajaya segera menyembah ampun kerana dalam masyarakat Melayu, membuat Agong atau Sultan 'amat dukacita' adalah satu kesalahan yang sangat berat dan serius.
Bagaimanapun, tidak kurang juga, ada pihak yang mahu melihat Abah rebah apabila mendesak beliau meletakkan jawatan dan memikul tanggungjawab di atas krisis yang berlaku ini. Demi menunjukkan betapa bersungguhnya suara dan desakan kelompok yang mahu Muhyiddin untuk meletakkan jawatan itu, lebih 1,000 orang berdemonstrasi di tengah-tengah Kuala Lumpur pada Sabtu.
Ada yang membawa sepanduk kerajaan gagal dan ada juga yang mengendong 'mayat' simbolik mangsa Covid-19 yang meninggal dunia.
Walaupun demonstrasi itu isyarat jelas, demokrasi belum mati di Malaysia, namun agak menyedihkan apabila melihat ribuan orang itu berbondong-bondong di jalan raya ketika Malaysia berdepan dengan kemuncak pandemik Covid-19.
Ketika Malaysia mencatatkan kes harian sehingga 17,000 sehari, persoalannya adakah demonstrasi seperti itu adalah penyelesaian terbaik? Yang pasti, ramai rakyat yang ternanti-nanti, apakah selepas ini?
Seorang pakar undang-undang dan perlembagaan negara mengakui kepada penulis, walaupun di sebalik desakan dan demonstrasi pada Sabtu, Muhyiddin tidak akan semudah itu melepaskan jawatan.
"Muhyiddin dalam diam ibarat 'kucing dengan sembilan nyawa'. Bayangkan sudah berapa kali pembangkang cuba menjatuhkan beliau melalui surat akuan sumpah ahli Parlimen namun tidak berjaya.
"Sudah berapa kali juga, beliau ditekan UMNO termasuk penarikan sokongan baru-baru ini. Tapi Muhyiddin berjaya 'potong tang konar' (cakap orang utara) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri'," katanya.
Cuma persoalannya, adakah Muhyiddin perlu mencari 'kambing hitam' sebagai jalan keluar daripada kemelut ini? Yang pasti, Covid-19 telah berjaya menaikkan reputasi Muhyiddin pada tahun lalu apabila berjaya melandaikan graf kes dan melegakan rakyat dengan pelbagai jenis bantuan.
Persoalannya, adakah angkara Covid-19 dan kesilapan percaturan terhadap Ordinan Darurat berkaitan pandemik itu juga akan menjatuhkan Abah pada kali ini?
* Zamri Rambli ialah Pengarang Berita Premium Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!