Bekas kontraktor mengaku tidak bersalah buat tuntutan palsu

Ismail (dua dari kanan) diiringi Ahmad Dasuki (kanan) selepas selesai pertuduhan di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin.
Ismail (dua dari kanan) diiringi Ahmad Dasuki (kanan) selepas selesai pertuduhan di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin atas dakwaan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan berjumlah RM11,266.50 lima tahun lalu.

Tertuduh, Ismail Ahmad, 61, membuat pengakuan tersebut dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin.

Mengikut kertas pertuduhan, Ismail dengan curangnya telah menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu resit atas perniagaan Kejai Nursery dan mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut adalah palsu.

Kejadian dilakukan tertuduh di Pejabat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Stesen Kuala Ketil/Tawar, Baling pada 29 Ogos 2017.

Dia dituduh di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Ismail yang diwakili peguamnya, Ahmad Dasuki Che Hasan @ Che Yusuf memohon wang jaminan dikurangkan selepas tertuduh hilang pendapatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hanya bergantung kepada wang ihsan anak-anaknya sahaja.

Menurutnya, tertuduh juga mempunyai tanggungan seorang isteri yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta tidak bekerja.

Artikel Berkaitan:

Harmi Thamri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 September depan untuk sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!