Enam individu kena kompaun langgar SOP

Tindakan kompaun diambil terhadap enam individu yang didapati melanggar SOP ketika menyaksikan lumba haram di Jalan Kuantan-Segamat di Pekan pada Ahad. - Foto Ihsan Polis Pekan
Tindakan kompaun diambil terhadap enam individu yang didapati melanggar SOP ketika menyaksikan lumba haram di Jalan Kuantan-Segamat di Pekan pada Ahad. - Foto Ihsan Polis Pekan
A
A
A

PEKAN- Enam individu dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika leka menyaksikan perlumbaan haram di Jalan Kuantan -Segamat, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, individu berusia 20 hingga 31 tahun itu dikesan berkumpul di luar kereta tanpa mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Menurutnya, kesalahan dilakukan kumpulan lelaki itu berjaya dikesan hasil pemerhatian pasukan pemantau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan semasa rondaan pemantauan di lokasi tersebut.

"Kesemua yang ditahan bersama dua motosikal dan tiga kereta yang digunakan dibawa ke Balai Polis Paloh Hinai untuk tindakan lanjut.

"Tindakan kompaun diambil ke atas mereka mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan- peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Mohd Zaidi berkata, orang ramai diminta agar tidak keluar rumah jika tiada keperluan dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan agar rantaian pandemik Covid- 19 dapat diputuskan.

Sementara itu dalam kes berasingan, dua remaja berusia 15 dan 16 tahun yang menunggang serta membonceng sebuah motosikal ditahan dalam Ops Samseng Jalanan sekitar Jalan Chini-Kuantan dan Bandar Dara, Chini pada Jumaat lalu.

Mohd Zaidi berkata, remaja terbabit dikesan menunggang secara bahaya dengan mempamerkan aksi 'wheelie' di mana aksi itu berbahaya kepada diri mereka dan pengguna jalan raya yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Dalam operasi bermula jam 5 hingga 7 petang itu, sebanyak 44 saman atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, kesalahan melibatkan nombor pendaftaran dan ubah suai motosikal dikeluarkan kepada penunggang motosikal lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!