Layak ke akhir juga satu kejayaan, kata Zuraida
KUALA LUMPUR - Layak ke saingan akhir dan berada di tempat keempat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 juga satu kejayaan yang perlu dibanggakan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, beliau amat berbangga walaupun Nur Dhabitah terlepas peluang untuk meraih pingat pada acara tersebut.
Menurut Zuraida, penerjun berusia 22 tahun itu menunjukkan prestasi cemerlang yang secara tidak langsung meletakkan Malaysia di persada antarabangsa.
"Seperti rakyat Malaysia yang lain, pasti kita semua teruja dengan persembahan menarik yang ditunjukkan Nur Dhabitah.
"Saya percaya anda telah melakukan yang terbaik dan rakyat Malaysia juga berbangga dengan pencapaian itu," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ampang itu turut menyifatkan kejayaan Nur Dhabitah sebagai permulaan untuk atlet terbabit meraih lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
"Ini adalah satu permulaan dan perjalanan anda masih jauh, semoga lebih banyak kejayaan bakal dilakar di masa akan datang. Anda tetap menjadi juara di hati kami, rakyat Malaysia," katanya.
Pada Sabtu, Nur Dhabitah hanya dibezakan 17.6 mata di belakang pemenang pingat gangsa apabila menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara disertai pada temasya sukan utama dunia itu.
Pada penampilan sulungnya di Olimpik Rio 2016, Nur Dhabitah menutup kempen di tangga kesembilan dan kedudukan keempat dianggap pencapaian baik buat penerjun itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!