Anugerah trofi Kasut Emas perlu ada nilai prestij
KOTA BHARU - Seorang bekas penerima trofi Kasut Emas berpendapat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu memastikan trofi yang diberikan itu, mempunyai nilai setaraf dengan prestij anugerah itu dan bukan semata-mata sebagai syarat pemberian sahaja.
Pemenang Kasut Emas pada 1993 dan 1994, Mohd Hashim Mustapha berkata ini kerana anugerah tersebut merupakan kemuncak kepada Liga Malaysia, dan ketika itu hanya seorang pemain sahaja dipilih menerimanya.
“Ini adalah kenangan bukan sahaja kepada pemain itu, malah trofi berkenaan akan menjadi sebutan dan menjadi kebanggaan pasukan dan negeri pemain itu.
"Malah trofi yang diterima itu perlu ada nilainya tersendiri, dan bukan dilihat seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja,” katanya kepada media di sini.
Ketika ini hadiah Kasut Emas yang dimenangi beberapa pemain menjadi perhatian pemerhati dan peminat bola sepak tempatan, apabila hadiah tersebut dikatakan berkualiti rendah berbanding hadiah sama dianugerahkan di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini juga, trofi tersebut pada musim lalu turut menjadi bahan jenaka ‘troll’ dan kritikan daripada peminat bola sepak tanah air, berikutan rekaannya yang tidak sesuai dengan anugerah kemuncak bola sepak negara.
Bekas pemain Kelantan dan kebangsaan itu berkata anugerah itu adalah sangat penting, kerana ia adalah platform kepada pemain meletakkan sasaran peribadi untuk menjaringkan gol, malah ia boleh dijadikan penanda aras untuk mewakili negara.
"Saya bimbang anugerah itu akan diperkecil-kecilkan oleh setengah pihak seperti sekarang, dan ia perlu diangkat prestijnya seperti sebelum ini," katanya.
"Biarlah anugerah itu seperti di Eropah, nampak kemas dan berprestij kepada pemain kerana untuk mendapatkannya begitu sukar, terutamanya kepada penyerang tempatan,” katanya.
"Saya juga setuju hadiah iringan wang tunai diberikan, bagi mengiktirafkan lagi sumbangan pemain kepada sukan bola sepak negara, namun Kasut Emas perlu diteruskan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!