[DIKEMASKINI] FAMA bantu pasar 11,000 tan hasil pertanian

Che Abdullah (dua dari kanan) membuat tinjauan terhadap isu lambakan timun yang diusahakan dua beradik di Kampung Pulai, Chicha Tinggi di Pasir Mas pada Isnin.
Che Abdullah (dua dari kanan) membuat tinjauan terhadap isu lambakan timun yang diusahakan dua beradik di Kampung Pulai, Chicha Tinggi di Pasir Mas pada Isnin.
A
A
A

PASIR MAS - [DIKEMASKINI] Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu memasarkan sebanyak 11,000 tan metrik hasil pertanian bernilai RM38.22 juta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia bagi mengatasi isu lambakan hasil pertanian di negeri ini susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi aktiviti pemasaran bermula 25 Mei hingga 29 Julai lalu.

"Kesemua hasil pertanian itu dipasarkan oleh FAMA ke kawasan yang memerlukan," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan berhubung isu lambakan timun yang diusahakan dua beradik di Kampung Pulai, Chicha Tinggi di sini pada Isnin.

Hadir sama ialah Penasihat Kompleks Pemasaran FAMA, Mohd Arifin Awang dan Pengarah FAMA Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan dua beradik berkenaan buntu kerana gagal memasarkan timun yang diusahakan akibat pandemik Covid-19, sekali gus menyebabkan mereka mengalami kerugian sebanyak RM2,000 sehari.

ARTIKEL BERKAITAN: Timun tidak terjual, dua beradik rugi RM2,000 sehari

Sementara itu, Che Abdullah berkata, ada sebahagian daripada hasil pertanian itu dijadikan sebagai produk sumbangan menerusi program MAFI Prihatin.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MAFI Prihatin merupakan inisiatif serampang dua mata di mana ia dapat membantu petani memasarkan lebihan hasil pertanian mereka dan dalam masa sama dapat membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

"Untuk makluman, sepanjang tempoh berkenaan, FAMA telah membantu memasarkan 2,500 tan metrik yang dianggarkan bernilai RM2.4 juta," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Tumpat berkata, projek ladang kontrak berjaya menyelesaikan masalah lambakan hasil pertanian di negara ini.

"Langkah itu sekali gus mengelakkan 'pemain' agromakanan di negara ini menanggung kerugian akibat gagal memasarkan produk keluaran mereka di pasaran.

"Melalui projek itu FAMA selaku agensi bertanggungjawab telah menyediakan harga lantai untuk membeli segala hasil yang diusahakan oleh pemain agromakanan.

"Nasihat saya kepada pemain-pemain agromakanan supaya menjalinkan kerjasama dengan agensi di bawah MAFI di peringkat awal lagi berkaitan dengan apa yang hendak mereka usahakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!