Kemboja mulakan vaksinasi kanak-kanak 12 hingga 17 tahun

Sekurang-kurangnya dua juta kanak-kanak di Kemboja dijangka diberi vaksinasi Covid-19. - Foto 123RF
Sekurang-kurangnya dua juta kanak-kanak di Kemboja dijangka diberi vaksinasi Covid-19. - Foto 123RF
A
A
A

PHNOM PENH - Kemboja pada Ahad memulakan usaha vaksinasi Covid-19 yang menyasarkan kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun di Phnom Penh dan tiga wilayah Kandal, Koh Kong dan Preah Sihanouk.

Perdana Menteri, Hun Sen berkata, vaksinasi untuk kanak-kanak adalah langkah penting untuk mecapai imuniti kelompok, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Sekurang-kurangnya dua juta kanak-kanak dijangka diberi vaksin dalam kempen tersebut, katanya, sambil menambah negara ini sedang mempertimbangkan untuk menyuntik kanak-kanak berusia 10 hingga 11 tahun.

Katanya, pihak berkuasa juga akan segera memulakan pemberian suntikan penggalak (booster) kepada orang dewasa yang lengkap divaksin.

Kerajaan memutuskan untuk memberi suntikan ketiga menggunakan vaksin AstraZeneca kepada mereka yang telah menerima dua dos vaksin Sinopharm dan Sinovac.

Beliau berkata, kira-kira 500,000 hingga satu juta petugas barisan hadapan, terutama di kawasan bersempadan dengan Thailand, akan diberi keutamaan untuk suntikan ketiga.

Sehingga 31 Julai, lebih 7.3 juta orang dewasa di Kemboja menerima sekurang-kurangnya dos pertama manakala lebih 4.7 juta memperoleh dos kedua.

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan melaporkan 23 kematian dan 671 kes baharu dicatatkan dalam 24 jam, termasuk 265 kes import dan 406 kes jangkitan tempatan.

Artikel Berkaitan:

Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 77,914, dengan 70,754 telah pulih dan 1,420 kematian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!